Sekilas
- Mek Dinda, pengasas Mekdinda Cosmetics, menuntut semula deposit RM37,500 selepas 10,000 unit produk kosmetik yang ditempah tidak diterima lebih empat bulan.
- Kerugian syarikat dianggarkan RM111,000 akibat kehilangan peluang perniagaan dan kelewatan penghantaran produk dari kilang OEM tempatan.
- Mekdinda telah mengeluarkan Letter of Demand dan membuat laporan polis, dengan peguam mereka bersedia mengambil tindakan lanjut jika tuntutan tidak dipenuhi.
Pempengaruh media sosial dan usahawan, Mek Dinda atau nama sebenarnya Nur Syahidatul Najwa mendakwa syarikatnya mengelami kerugian selepas tempahan 10,000 unit produk kosmetik daripada sebuah kilang OEM tempatan masih belum diterima.
Sehubungan dengan itu, Mek Dina yang juga pengasas Mekdinda Cosmetics menuntut semula deposit sebanyak 50 peratus yang bernilai RM37,500 selepas mendakwa sudah lebih empat bulan tidak menerima produk yang ditempahnya itu.
Bukan itu sahaja, keadaan itu juga didakwa telah menyebabkan syarikat milik Mek Dinda kehilangan peluang perniagaan dengan potensi jualan dianggarkan mencecah RM111,000.
“Saya pilih untuk bekerjasama dengan kilang di Malaysia sebab saya memang nak support industri lokal kita.
“Bila kita sebagai local brand cuba untuk support local manufacturer, kita harap kerjasama itu dapat berjalan dengan baik dan kedua-dua pihak sama-sama berkembang.
“Macam mana nak maju industri local makeup kalau kilang sini sendiri tidak menjalankan tanggungjawab kontrak?” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili Mekdinda Cosmetics iaitu Sabrina Mohd & Zaim Arif berkata, pihak anak guamnya sebelum ini telah memberikan peluang kepada pihak OEM untuk menyelesaikan tempahan tersebut.
“Anak guam kami telah memberikan peluang kepada pihak OEM untuk melaksanakan tempahan tersebut. Namun selepas tarikh yang dijanjikan berlalu, produk masih tidak dihantar dan tiada penyelesaian yang diberikan kepada anak guam kami.
“Jadi, Letter of Demand ini merupakan langkah seterusnya untuk mendapatkan semula apa yang menjadi hak anak guam kami,” katanya.
Susulan itu, pihak Mekdinda telah mengeluarkan Letter of Demand (LOD) bagi menuntut semula deposit RM37,500 selain ganti rugi khas RM111,000, ganti rugi am serta kos guaman.
Berkongsi lanjut, mereka juga menegaskan bahawa anak guam mereka akan mengambil tindakan lanjut sekiranya tuntutan tersebut gagal dilaksanakan.
“Kami tidak meminta sesuatu yang istimewa. Kami hanya menuntut apa yang sememangnya menjadi hak anak guam kami berdasarkan perjanjian yang telah dipersetujui.
“Kami akan mengambil langkah yang sewajarnya bagi melindungi kepentingan anak guam kami,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pihak Mekdinda memaklumkan mereka juga telah membuat satu laporan polis berhubung isu tersebut.
Untuk rekod, Mekdinda Cosmetics membuat tempahan 10,000 unit cleanser makeup remover 100ml pada 7 Mac 2026 dengan nilai keseluruhan kontrak RM75,000, sebelum membayar deposit RM37,500.
Bagaimanapun, pihaknya mendakwa tempoh penghantaran yang dipersetujui telah berlalu dan produk masih tidak diterima walaupun beberapa kali susulan dibuat.
Antara alasan yang diberikan kepada pihak Mekdinda adalah masalah penghantaran bahan mentah dari China, namun deposit berkenaan juga didakwa masih belum dipulangkan.