Sekilas
- Kumpulan nasyid Rabbani akan mengadakan Gala Dinner Eksklusif pada 29 November untuk menghidupkan kembali lagu-lagu klasik kumpulan Nada Murni yang sudah berusia empat dekad.
- Persembahan ini akan menampilkan lebih 15 lagu pilihan Nada Murni sebagai penghargaan terhadap legasi dan untuk memperkenalkan muzik nasyid kepada generasi muda.
- Acara ini mendapat sokongan utama daripada Emas Sri Semantan dan bertujuan menyemarakkan minat terhadap muzik nasyid serta memastikan kesinambungan industri seni tempatan.
Empat dekad berlalu, namun karya-karya kumpulan nasyid Nada Murni masih mempunyai tempat istimewa dalam hati peminat muzik nasyid tanah air.
Bagi meraikan legasi tersebut, kumpulan nasyid kontemporari Rabbani bakal menghidupkan kembali nostalgia kegemilangan Nada Murni menerusi Gala Dinner Eksklusif Bersama Rabbani pada 29 November ini.
Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz berkata, persembahan istimewa itu membawa makna cukup mendalam buat mereka, apatah lagi Nada Murni pernah menjadi gelanggang perjuangan penggiat seni nasyid sekitar empat dekad lalu.
Lebih istimewa, Rabbani bakal mempersembahkan lebih 15 lagu pilihan daripada album Nada Murni yang pernah mencipta kenangan tersendiri dalam kehidupan peminat.
“Karya berkenaan bukan sahaja mempunyai nilai sentimental, malah menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik yang menghubungkan peminat dengan kenangan bersama keluarga dan sahabat,” katanya.
Menurut Azadan, persembahan tersebut bukan sekadar mengimbau nostalgia, sebaliknya menjadi platform untuk memperkenalkan warisan muzik Nada Murni kepada generasi muda.
“Empat dekad bukan satu tempoh yang singkat. Perjalanan Nada Murni membuktikan bahawa karya yang mempunyai nilai dan mesej tersendiri mampu kekal dekat di hati pendengar walaupun zaman terus berubah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azadan turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan pelbagai pihak, khususnya Emas Sri Semantan selaku penaja utama yang membantu merealisasikan penganjuran acara berkenaan.
“Sokongan penaja utama menjadi antara tunjang penting dalam memastikan kelangsungan seni nasyid tanah air apabila tampil berganding bahu menjayakan majlis makan malam ini.
“Menerusi kerjasama Rabbani Empire Resources dengan Emas Sri Semantan selaku penaja utama, Rabbani sangat berbesar hati apabila dapat merealisasikan persembahan istimewa ini.
“Sokongan rakan kolaborasi ini secara simbolik sebagai kepercayaan jitu jenama besar terhadap kemampuan genre nasyid di arus muzik perdana,” katanya.
Azadan turut berpandangan bahawa kesinambungan industri nasyid bukan sahaja bergantung kepada usaha penggiat seni, malah memerlukan sokongan sektor korporat yang percaya terhadap nilai dan potensi karya tempatan.
“Kerjasama antara penganjur dan penaja amat penting kerana kesinambungan sesebuah industri seni bukan hanya bergantung kepada penggiatnya, bahkan turut memerlukan sokongan pihak lain yang percaya terhadap nilai dan potensi karya tempatan,” ujarnya.
Menerusi penganjuran tersebut, Rabbani berharap minat terhadap muzik nasyid dapat terus disemarakkan, selain memberi peluang kepada generasi baharu mengenali perjalanan dan sumbangan penggiat seni yang membina industri berkenaan.
Gala Dinner Eksklusif Bersama Rabbani dijadualkan berlangsung di Rabbani Event Hall, Scott Garden, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada 29 November ini, jam 8.30 malam.
Orang ramai yang ingin bersama-sama meraikan empat dekad perjalanan seni Nada Murni boleh membuat tempahan tempat dengan menghubungi pihak pengelola di talian 017-252 6176.