Sekilas
- Seorang lelaki melakukan eksperimen sosial dengan meminta bantuan pasangan suami isteri untuk membeli susu anak dalam sebuah video yang tular di Threads.
- Pasangan itu terus membantu tanpa bertanya, namun isteri menitiskan air mata kerana mereka sudah 42 tahun berkahwin tanpa zuriat.
- Video tersebut mendapat perhatian warganet yang turut mendoakan kebahagiaan pasangan tersebut.
Di Threads, tular satu video ‘social experiment’ yang dilakukan seorang pemuda yang telah meruntun hati serta meraih perhatian wargamaya di media sosial.
Menerusi video yang dimuat naik semula pengguna bernama @its.sueeeeeee_, kelihatan seorang lelaki menghampiri sepasang suami isteri dan memohon bantuan untuk membeli susu anak.
Tanpa bertanya, pasangan suami isteri itu dilihat terus menghulur sedikit wang bagi membantu lelaki tersebut membeli susu anak seperti yang diperkatakannya.
Namun siapa sangka, ‘social experiment’ itu telah membuatkan si isteri menitiskan air mata selepas menghulurkan bantuan tersebut.
Apa yang membuatkan ramai tersentuh apabila wanita berkenaan menjelaskan bahawa mereka tidak mempunyai zuriat selepas 42 tahun berumah tangga.
“Saya sedih sangat bila masuk dalam kereta. Kami dah 42 tahun kahwin tapi tak ada zuriat. Jadi bila saya dengar awak nak minta tolong untuk beli susu anak, sedih sangat mendengarnya,” kongsinya.
Berkongsi lanjut, mereka memaklumkan bahawa ada melakukan usaha untuk mendapatkan zuriat namun memilih untuk berdamai dengan takdir memandangkan usia mereka semakin meningkat.
“Mungkin dulu ada (usaha) itu tapi bila dah berumur ini kami reda dan memilih untuk menjada diri masing-masing,” kongsinya lagi.
Video mengenai pasangan tersebut kemudiannya tular dah mengundang rasa sebak dalam kalangan warganet.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa tersentuh sambil mendoakan kebahagiaan pasangan itu.
Sumber: Threads