Sekilas
- Acha Septriasa sering memegang watak wanita berhijab dalam beberapa filem seperti Bulan Terbelah di Langit Amerika dan Air Mata Mualaf.
- Walaupun kerap berlakon memakai hijab, Acha mengakui dia masih belum menutup aurat dalam kehidupan sebenar.
- Dia percaya keputusan berhijab perlu datang dari hati dan kejujuran diri, bukan kerana tekanan atau ekspektasi luar.
Sebagai seorang pelakon versatil, Acha Septriasa kerap diberi peranan memainkan watak wanita berhijab.
Beberapa filem yang menampilkan Acha memakai hijab antaranya Bulan Terbelah di Langit Amerika, MARS, Hanum & Rangga, Qodrat 2 hingga yang terbaru, Air Mata Mualaf.
Ironi, dalam kehidupan seharian, Acha masih belum menutup aurat.
Bercakap mengenai penampilan berhijab dalam watak yang dibawa, bintang Indonesia itu mengaku ‘tertampar’ kerana masih belum menutup aurat sepenuhnya seperti perintah agama.
“Saya sebenarnya agak-agak tertampar ya setiap memerankan karakter yang ada sisi Islamnya.
“Beberapa tahun kebelakangan ini, saya terlibat dengan empat filem yang memerlukan saya memakai hijab. Saya sifatkan Allah beri saya rezeki secara sedikit-sedikit untuk menutup aurat,” katanya seperti dilaporkan InsertLive.
Malah katanya dia selalu berasa nyaman setiap kali membawa watak wanita berhijab.
Menurut Acha, mengenakan hijab untuk menutup aurat adalah pilihan yang harus datang dari hati dan kejujuran diri, bukan kerana tekanan luar atau ekspektasi orang lain.
“Apa yang penting saya perlu jujur dengan diri sendiri, jadi semuanya balik ke diri saya semula (keputusan berhijab),” katanya.