Pengarah merangkap penerbit filem Killmaster, Julian Cheah, menjelaskan bahawa karya terbaharunya itu telah melepasi saringan Lembaga Penapis Filem (LPF) sepenuhnya tanpa sebarang potongan, biarpun mengandungi beberapa adegan intim.
Julian yang turut memegang watak utama dalam filem tersebut berkata, Killmaster telah diberikan klasifikasi P16, iaitu hanya sesuai untuk penonton berusia 16 tahun ke atas.
Advertisement
“Filem ini telah diluluskan 100 peratus tanpa potongan. Meskipun ada adegan intim, pihak LPF sudah memeriksa dan memberi kelulusan penuh,” ujarnya ketika ditemui pada tayangan perdana Killmaster di TGV Suria KLCC, baru-baru ini.

Menurut Julian, Killmaster bukan sekadar naskhah aksi perisik semata-mata, sebaliknya mengangkat elemen glamor dan keindahan sinematik.
“Saya mahu mencipta alternatif kepada filem aksi yang terlalu keras dan ganas. Killmaster hadir untuk mengembalikan rasa keajaiban, gaya, serta kehalusan sinema yang pernah digemari pada era lalu,” jelasnya.
Selain lokasi penggambaran di Malaysia, produksi turut memilih sebuah pulau eksotik di Ibiza, Sepanyol sebagai latar utama untuk menghidupkan nuansa antarabangsa.

Filem ini mengikuti kisah Alex Wong, seorang ejen rahsia Asia dengan nama kod Killmaster, yang terkenal dengan ketepatan dalam menumpaskan ancaman global.
Misi terbaharunya membawa Alex dari Asia ke Eropah, sebelum bertembung dengan seorang pemimpin berpengaruh di Sepanyol.
Julian berkata inspirasi Killmaster datang daripada era keemasan sinema, khususnya gaya klasik filem James Bond era Roger Moore, serta keanggunan visual seperti dalam To Catch a Thief.
Selain Julian, filem ini turut menampilkan bintang dari Chile, Monica de Caro.
Bagi menambah pesona, skor muzik Killmaster memberi penghormatan kepada komposer legenda John Barry, tokoh yang pernah mendefinisikan identiti muzik filem Bond pada era 1960-an dan 1970-an.
