Keluarga kepada isteri pempengaruh dan usahawan sensasi, Prince Syed, mendakwa mereka tidak mengetahui bahawa wanita berkenaan, Fatin Syazwani, telah menjalani pembedahan bariatrik sebelum keadaannya dilaporkan semakin lemah dan tidak bermaya.
Menerusi sesi siaran langsung di TikTok, adik kepada Fatin, Muhd Ikhwan Alif, 22, turut berkongsi foto kakaknya terlantar di lantai rumah dalam keadaan lesu, selain meluahkan rasa kecewa terhadap abang iparnya itu.
Advertisement
“Kami tak tahu dia buat bariatrik, satu keluarga pun tak tahu. Bila dia post dekat TikTok, kami tertanya-tanya sebab apa kakak lemah begini, macam muntah dan demam.
“Mata kaku, terlantar atas katil, dia tak boleh buat apa-apa seolah-olah macam kena sihir,” katanya dalam siaran langsung berkenaan.
Ikhwan turut mempersoalkan tindakan Prince Syed yang didakwa membenarkan isterinya menjalani prosedur pembedahan tersebut tanpa pengetahuan keluarga.
“Hang potong perut dia, sebab apa? Apa salahnya cerita dari awal?
“Selepas hang kahwin dengan dia, kami dah tak ada hak untuk tahu perkembangan kakak saya? Sampai dia sakit macam tu, terlantar macam tu?” katanya.
Sebelum ini, ibu mentua kepada Prince Syed mendakwa menantunya itu telah melarikan anak perempuannya dan menghalang keluarga daripada berjumpa.
Dalam satu video lain yang turut tular, wanita terbabit mendakwa anaknya kini dalam keadaan tidak sihat selepas menjalani prosedur bariatrik (pembedahan perut) yang dikatakan dilakukan atas desakan menantunya.
Sementara itu, hantaran lain di media sosial turut mendakwa Fatin mengalami komplikasi kesihatan serius termasuk dehidrasi teruk dan hampir lumpuh sebelum dibawa ke Hospital UiTM Puncak Alam.
Bagaimanapun, Prince Syed menafikan semua tuduhan berkenaan dan isterinya sendiri, Fatin Syazwani, tampil menjelaskan bahawa suaminya tidak pernah memaksanya menjalani prosedur tersebut semata-mata untuk menjual produk pelangsingan seperti yang tersebar di media sosial.
Difahamkan, Muhd Ikhwan Alif merupakan salah seorang daripada empat individu yang ditahan polis sebelum ini bagi membantu siasatan berhubung insiden perselisihan faham dengan Prince Syed.
Turut ditahan bersama ialah ibu mereka, Aminah Haniffa, 55; bapa, Ishak Saif, 59; serta abangnya, Muhd Syahmi Faiz, 31.
Bagaimanapun, semua mereka telah dibebaskan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan kira-kira jam 7 malam semalam.
