Skip to main content

Selebriti

AIM24: Akhirnya Impian Tercapai, Aina Abdul Sebak Genggam Empat Trofi - “Saya Memang Tak Sangka Dihargai Seperti Ini…”

Akhirnya Impian Tercapai, Aina Abdul Sebak Genggam Empat Trofi AIM24

Penyanyi, Aina Abdul tidak dapat menahan sebak apabila penat lelah dan usaha yang selama ini dilakukan untuk menggenggam trofi Anugerah Industri Muzik (AIM) akhirnya menjadi kenyataan menerusi penganjuran edisi ke-24 acara berprestij itu.

Menurut Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, pencapaian yang dikecapi pada
AIM 24 dengan memenangi empat trofi merupakan detik paling berharga sebagai anak seni.

Advertisement

“AIM memang antara anugerah yang saya tunggu juga dalam hidup saya. Ini boleh dikatakan salah satu anugerah ikonik di Malaysia selain Anugerah Juara Lagu (AJL). Jadi, saya memang mengimpikan untuk menggenggam anugerah ini.

“Trofi ini boleh dikatakan penguat terbaru saya untuk berkarya. Terima kasih sangat kepada pihak juri yang meluangkan masa berjam-jam memilih lagu yang terbaik dan akhirnya memilih lagu ini (Jangan Mati Rasa Itu).

“Saya memang sangat tak sangka diharga seperti ini. Saya memang tak sangka melalui lagu Jangan Mati Rasa Itu sebab lagu itu adalah antara lagu yang sangat bermakna dalam hidup saya,” ujarnya sebak.

Aina berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman pemenang AIM 24 di Arena Of Stars, Genting Highland pada Sabtu.

Dalam pada itu, Aina berkata pengiktirafan diterima itu sudah tentu menyimpan satu makna yang begitu besar buat dirinya.

“Saya datang dari latar belakang sebagai penulis lagu. Kadang-kadang kita rasa, apa yang kita tengah buat dan apa yang kita cuba hendak capai dalam industri ini? Saya akui sebagai seorang penyanyi, pasti ada pelbagai perkara dirasai.

“Kadang-kadang sebagai penulis, perlu menepati ‘deadline’ dan kita buat apa yang perlu. Tetapi saya percaya ilham daripada Allah itu benar dan saya sentiasa berterima kasih kerana dalam titik terendah hidup, Allah sentiasa hadirkan karya ataupun melodi lagu terbaik untuk saya.

“Kadang-kadang mungkin saya fikir saya buat lagu itu untuk menyembuhkan hati yang luka, tapi sebenarnya saya tak sangka lagu itu menyembuhkan hati peminat-peminat dan membantu mereka yang terluka di luar sana,” katanya.

Terdahulu, Aina memenangi empat kategori, iaitu Vokal Wanita Terbaik, Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik melalui single Jangan Mati Rasa Itu di AIM 24.

Satu lagi kategori diraih Aina adalah Rakaman Album Terbaik menerusi album Imaji Deluxe Edition.

Bagi kategori tumpuan seperti Vokal Wanita Terbaik, Aina menewaskan empat nama besar lain seperti Siti, Marsha Milan, Liza Hanim dan Ernie Zakri.

Sebelum ini, Aina meraih sembilan pencalonan pada AIM 24, lantas mendahului senarai artis bolos Top 5 tertinggi pada edisi kali ini.

Aina yang julung kali dicalonkan dalam AIM mencipta sejarah peribadi dengan pencalonan merangkumi kategori Rakaman Lagu Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Kulit Single/Album Terbaik, Album Terbaik yang membabitkan dua pencalonan.

Penyanyi berimej unik itu turut tercalon dalam kategori Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Runut Bunyi Terbaik Dalam Filem/Drama serta Vokal Wanita Terbaik.

Must-Watch Video

Advertisement