Sekilas
- Aina Abdul akan kembali beraksi bersama Orkestra Filharmonik Malaysia dalam persembahan istimewa di Dewan Filharmonik PETRONAS pada April 2027.
- Musim konsert 2027 DFP dan MPO menampilkan pelbagai genre termasuk muzik klasik, pop, runut bunyi filem, anime, dan warisan tradisional.
- Selain konsert muzik, pelawak Douglas Lim juga akan menghiburkan penonton dengan persembahan komedi berdiri bertemakan "Old Money" selama tiga malam.
Penyanyi bersuara lantang, Aina Abdul bakal kembali menggegarkan pentas Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) apabila sekali lagi bergandingan dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) menerusi persembahan istimewa pada April 2027.
Selepas penampilan sulungnya bersama MPO pada 2024, Aina dijangka tampil dengan persembahan yang menggabungkan identiti muzik serta gaya pentas dramatiknya bersama susunan muzik orkestra di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose.
Kemunculan semula pelantun lagu ‘Semalam’ itu merupakan antara tarikan utama musim konsert ke-29 DFP dan MPO yang bakal berlangsung sepanjang tahun hadapan.
Mengangkat tema Where Every Beat Tells A Story, musim konsert 2027 menjanjikan pelbagai persembahan menarik merangkumi muzik klasikal, pop, runut bunyi filem, anime serta warisan tradisional.
Lebih menarik, peminat muzik antarabangsa bakal disajikan dengan konsert The Music of Celine Dion yang menampilkan penyanyi Olivia Valli di bawah pimpinan Brent Havens daripada Windborne Music.
Bagi peminat anime pula, konsert Naruto – A Symphonic Experience dijangka menjadi antara persembahan yang dinanti-nantikan apabila muzik daripada siri popular Jepun itu dibawakan dalam format simfoni.
Tidak ketinggalan, peminat permainan video berpeluang menikmati konsert Distant Worlds: Music from FINAL FANTASY bersempena ulang tahun ke-40 francais berkenaan pada 2027.
Selain itu, MPO turut merancang enam persembahan tayangan filem dengan iringan muzik orkestra secara langsung.
Antara judul yang bakal dipersembahkan termasuk Harry Potter and the Goblet of Fire, Titanic, How to Train Your Dragon, Baahubali – The Beginning, In the Mood for Love serta filem klasik lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Antara Dua Darjat.
Pengalaman tersebut bakal memberikan kelainan kepada penonton apabila filem ditayangkan di layar lebar sambil diiringi persembahan muzik simfoni MPO.
Dalam masa sama, peminat muzik nostalgia juga tidak dilupakan menerusi konsert Beatles Go Baroque – Hello Again, Symphonic Disco: Stayin' Alive serta The Best of 75 Years of Bollywood.
Siri Symphony of Memories – Nostalgic Hong Kong Classics turut kembali pada Februari dengan membawakan lagu-lagu klasik Cantopop di bawah pimpinan Francis Kan bersama penyanyi undangan.
Menariknya, DFP turut memberi ruang kepada persembahan berteraskan warisan tempatan menerusi Simfoni Penawar Rindu oleh Yayasan Warisan Johor pada Julai 2027.

Persembahan tersebut bakal mengetengahkan keindahan muzik tradisional Johor sebagai usaha memastikan kesenian warisan terus dihargai oleh generasi masa kini.
Selain muzik, pelawak Douglas Lim juga bakal kembali menghiburkan penonton menerusi persembahan komedi berdiri bertemakan Old Money selama tiga malam.
Sementara itu, Pengarah Muzik MPO, Junichi Hirokami akan terus menerajui sepuluh konsert klasikal termasuk New Year's Concert: Strauss & Co., An Evening of Mozart dan Rachmaninoff's Piano Concerto No. 2.

Musim berkenaan turut menyaksikan penganjuran Festival Beethoven selama dua minggu pada Disember, selain persembahan bersama pemuzik klasikal terkenal dari dalam dan luar negara.
Untuk rekod, pakej konsert musim 2027 telah diperkenalkan kepada ahli Friends of DFP pada 24 dan 25 Oktober 2026, manakala jualan tiket kepada orang ramai dijadualkan bermula 3 November 2026.
Maklumat lanjut mengenai jadual persembahan dan pembelian tiket boleh didapati menerusi laman web rasmi DFP dan MPO.