Skip to main content

Selebriti

Alami Kecederaan Ketika Lakukan Babak Aksi, Shaheizy Sam Bakal Jalani Fisioterapi - “Disahkan Koyak Untuk Kedua-Dua Belah Kaki, Bahagian Sendi…”

Shaheizy Sam

Sekilas

  • Shaheizy Sam mengalami kecederaan koyak pada tisu pelipat kedua-dua belah kakinya semasa penggambaran filem Cobra 7: Peluru Terakhir.
  • Kecederaan itu dikesan melalui MRI dan menyebabkan Sam perlu menggunakan hot pad serta mengambil ubat tahan sakit untuk meneruskan penggambaran.
  • Sam akan menjalani fisioterapi dan bercadang berehat serta memilih naskhah yang kurang memerlukan komitmen fizikal selepas ini.

Pelakon, Shaheizy Sam mendedahkan mengalami kecederaan apabila tisu pada bahagian pelipat kedua-dua belah kakinya disahkan koyak ketika menjayakan penggambaran filem Cobra 7: Peluru Terakhir.

Menurut Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 44, kecederaan itu  dikesan melalui keputusan pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI) yang dilakukannya baru-baru ini.

“Ikutkan keputusan MRI, bahagian belakang pelipat kaki saya mengalami kecederaan. Saya kurang pasti sama ada ia membabitkan ACL (Anterior Cruciate Ligament) atau meniskus, tetapi ia disahkan koyak untuk kedua-dua belah kaki pada bahagian sendi.

“Apabila kaki berada dalam keadaan tertekan, ia akan ada rasa berbisa. Setakat ini saya masih bertahan, saya memang kena jaga betul-betul dengan menggunakan hot pad (tuaman panas) kerana saya tahu ia (kaki) mahu digunakan lagi untuk bekerja,” katanya.

Sam berkata demikian ketika ditemui semasa penggambaran filem terbaharunya berjudul Cobra 7: Peluru Terakhir di Wisma Ali Bawal 2, pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai punca insiden, Sam berkata, kecederaan terbabit mula menyerang dirinya seawal hari ketiga penggambaran filem itu.

“Selalunya untuk filem aksi, kita tahu kena bersedia dari segi mental dan fizikal. Kebiasaannya saya akan buat persiapan awal dengan pergi ke gimnasium.

“Malah, awal-awal lagi saya memang sudah rancang mahu buat persiapan untuk penggambaran filem ini.

“Bagaimanapun, apabila mendapat skrip, watak kali ini rupa-rupanya tidak memerlukan fizikal yang ‘fit’. Jadi, saya rasa tenang dan selesa hingga tidak buat sebarang persiapan fizikal.

“Mungkin disebabkan badan terkejut apabila melakukan babak aksi, datang macam-macam kecederaan.

“Ada masanya saya terpaksa ambil painkiller (ubat tahan sakit) apabila saya tahu hari penggambaran itu ada babak berat yang perlu dijayakan.

“Atas dasar tanggungjawab, sakit macam mana sekalipun saya tetap teruskan (penggambaran). Alhamdulillah, dalam keadaan cedera begini, penggambaran filem pun mahu habis dan Allah permudahkan,” jelasnya.

Bagaimanapun kata Sam, dia bakal menjalani rawatan susulan termasuk fisioterapi selain mahu berehat sebentar daripada naskhah yang berat.

“Rawatan susulan seperti fisioterapi memang saya akan buat. Selepas ini, saya mungkin akan mengambil cuti yang agak panjang sedikit.

“Kalau ada tawaran filem pun, buat masa ini saya tidak akan mengambil naskhah yang memerlukan komitmen fizikal yang berat. Saya akan pilih karya yang lebih ringan dahulu,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Sam yang bakal membintangi filem Cobra 7: Peluru Terakhir arahan Faisal Ishak turut menampilkan barisan pelakon seperti Diana Danielle, Zahiril Adzim, Ahirine Ahidrudin, Amar Baharin, Hanna Aqeela dan ramai lagi.

Anda mungkin berminat dengan

Grace and Glow Daisy Hair Vitamin Mist - Hair Perfume Serum Volumizing Spray Anti Rambut Kusut with Keratin

Grace and Glow Daisy Hair Vitamin Mist - Hair Perfume Serum Volumizing Spray Anti Rambut Kusut with Keratin

Luxurious Extra Hold Hair Spray 100ml 420ml (For West Malaysia Only) Travel Mini Hair Spray

Luxurious Extra Hold Hair Spray 100ml 420ml (For West Malaysia Only) Travel Mini Hair Spray

Must Watch Video

Advertisement