Sekilas
- Pelakon dan pelawak Shamsul Ghau Ghau dilaporkan mengalami pendarahan beku pada otak dan sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Serdang.
- Rakan pelakon Sheila Mambo berkongsi bahawa Shamsul tidak hadir ke lokasi penggambaran drama Kedai Kopi Melekit kerana keadaan kesihatannya yang tidak stabil.
- Pencetus Ummah (PU) Amin memohon doa dan bantuan segera kerana Shamsul kini lumpuh dan memerlukan rawatan kecemasan malam ini.
Pelakon dan pelawak, 57, Shamsul Ghau Ghau dilaporkan mengalami pendarahan beku pada otak dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang.
Berita tersebut pertama kali dikongsikan rakan pelakon, Sheila Mambo yang terlibat sama dengan penggambaran drama Kedai Kopi Melekit.
Menurutnya, Shamsul Azahar Alidin yang juga terkenal dengan panggilan Pak Su Shamsul Ghau Ghau tidak hadir ke lokasi penggambaran, sedangkan mereka dijadual berlakon bersama.
"Apabila dia tidak muncul di set pagi ini, saya hubungi isterinya untuk bertanya. Isterinya beritahu Shamsul masih tidur dan tidak sedar ada penggambaran hari itu.
“Dia juga kelihatan tidak sihat. Jadi saya minta dia dibawa ke hospital. Selepas pemeriksaan dia didapati mengalami pendarahan pada otak sebelah kiri,” ujar Sheila seperti dipetik daripada Berita Harian.
Sheila juga memberitahu Shamsul Ghau Ghau mungkin akan ditukarkan ke Hospital Sungai Buloh kerana kos rawatan yang lebih murah.
Sementara itu, Pencetus Ummah (PU) Amin juga menerusi perkongsian di media sosial memohon doa dan bantuan agara urusan rawatan yang dijangka berlangsung malam ini, lancar.
PU Amin juga memaklumkan Shamsul Ghau Ghau berada dalam keadaan lumpuh.
“Mohon doa dan bantuan kecemasan segera agar Paksu Shamsul Ghau Ghau segera sembuh, dia kena stroke. Malam ini kena buat rawatan segera. Cara bantu di ruang komen,” tulisnya seperti dilihat Gempak di Instagram.
Mari doakan agar semua urusan Shamsul Ghau Ghau dipermudahkan.