Bekas suami kepada Datuk A Aida iaitu Ameng Spring berkongsi detik cemas apabila menerima panggilan daripadanya anaknya berhubung keadaan penerbit popular itu dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di sebuah hospital di ibu negara baru-baru ini.
Menurut Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 57, dia menerima panggilan daripada anak sulungnya, Wan Az Aleesa yang memaklumkan jantung A Aida terhenti 8 kali dan diberikan defibrilasi.
Advertisement
“Saya mendapat panggilan daripada anak sulung saya, dia menangis teresak esak, saya ingatkan kucingnya mati.
“Sebab sebelum itu dia ada muat baik gambar kucing dia sakit, rupa-rupanya sebab mama dia. Mama dia pula tiga hari sebelum itu, saya tengok dekat IG dia pergi klinik nak buat lutut.
“Jadi saya terus terfikir ini mesti kesan daripada pembedahan itu. Anak saya kata mamanya di ICU dan maklumkan bahawa doktor sudah suruh baca surah Yasin.
“Anak saya kata jantung mamanya sudah berhenti sebanyak lapan kali, jadi saya terus bergegas dengan isteri saya ke hospital.
“Saya sempat melawat A.Aida. Saya lihat wayar sudah berselirat di badannya ketika tu. Waktu itu saya sedar ini bukan sakit biasa-biasa. Tetapi sakit kronik.
“Pada mulanya saya syak dia terkena serangan jantung disebabkan faktor umur. Tetapi rupanya dia mengalami komplikasi.
“Saya tengok seolah-olah dia sudah tiada harapan. Jadi kami telah lakukan solat hajat,” jelasnya.
Ameng berkata demikian ketika ditemui selepas konsert separuh akhir program Talk To My Manager yang berlangsung di Majlis Bandaraya Shah Alam pada Ahad.
Bagaimanapun, Ameng meluahkan rasa syukur sebaik sahaja mendapat tahu, A. Aida sudah kembali sedar dan dalam proses pemulihan.
“Alhamdulillah saya dapat khabar daripada anak saya memaklumkan ibunya sudah sedar. Paling penting bila dia sedar, dia kenal anak dia.
“Maknanya otak dia masih berfungsi. Kita yang paling takut adalah bila sedar daripada koma mereka tidak kenal orang.
“Buat masa ini dia masih belum boleh bercakap kerana ada tiup di dalam mulut. Cuma bila anak saya tanya kenal atau tidak, dia angguk.
“Insya-Allah dalam masa terdekat dia mungkin akan dipindahkan ke wad biasa,” kongsinya.
Terdahulu, A. Aida dilaporkan rebah selepas menjalani rawatan fisioterapi di sebuah pusat perubatan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
Menurut Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, sahabatnya itu difahamkan baru menjalani pembedahan lutut pada Selasa lalu dan berada dalam keadaan normal, namun tiba-tiba rebah selepas menjalani rawatan.