Sekilas
- Amira Othman bersyukur kerana suaminya, Fattah Amin, banyak membantu selepas kelahiran anak mereka, memberikan sokongan emosi dan fizikal yang penting.
- Amira mengakui pengalaman menjaga anak pertama bukan mudah, namun bantuan dari suami dan keluarga membuatkan dia lebih kuat dan yakin.
- Dia menegaskan tidak salah untuk ibu baru meminta pertolongan dan penting untuk menjadi ibu yang gembira demi kesejahteraan anak.
Pelakon dan penyanyi Amira Othman meluahkan rasa syukur apabila suaminya yang juga aktor Fattah Amin banyak membantu selepas dia melahirkan anak.
Menerusi video yang tular, Amira memberitahu pasangan memainkan peranan yang penting untuk ibu yang baru sahaja melahirkan cahaya mata.
“Pada saya, pasangan pun bagi peranan… macam Fattah, saya bersyukurlah. Dia memang very helpful. Kalau malam tu kan, dia bantu saya sama-sama.
“Jadi dekat situ kita dapat support system yang lagi kuat. Kita rasa macam okey penat ke susah ke, tapi kita tahu suami kita membantu.
“Memang banyaklah mempengaruhi faktor emosi kita sebagai mak-mak yang sedang menjaga anak baru. Sebab saya first time buat benda-benda ni,” kongsinya.
Amira juga mengakui bukan mudah untuk dia menguruskan anak buat pertama kali namun bersyukur dengan pertolongan dan semangat yang diberikan oleh suami serta ahli keluarga yang lain.
“Lepas tu anak kita menangis, kita pun kelam-kabut pergi panaskan susu sebab kita dah sejukkan kan, sebab kita tak boleh direct.
“Memang definitely bukan benda yang senang untuk saya la. Fattah memang dia akan kesian awak. 'Okey tak apa macam ni, tak apa slowly ah jangan stress kan?'
“Orang keliling saya, ibu bapa saya, adik-beradik saya pun cakap benda yang sama, 'Okey tak apa, boleh ni, boleh kan? Slowly macam ni la.'
“Akhirnya saya rasa, saya kuat. Saya macam, 'Okey, boleh ni aku boleh ni kan' walaupun yalah kurang tidur sikit. Kalau saya rasa saya tak strong, saya cakap dengan partner saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Hati-Hati itu berkata tidak salah untuk seorang wanita yang baru melahirkan anak meminta pertolongan jika dalam keadaan susah.
“Sekurang-kurangnya saya tahu tiap kali saya susah, ada saja orang yang sayang kita nak tolong kita. Tak salah pun minta tolong kan?
“Tak salah pun pergi mengaku yang kita tak mampu. 'Jadi boleh tak awak bantu saya sikit?' Pada saya, okey je. Kita lebih kenal diri kita kan?
“Yang penting saya nak jadi ibu yang happy supaya anak saya pun happy and healthy, Insya-Allah,” kongsinya.
Sumber - Threads