Sekilas
- Amirul Ramli puji Program Santuni Pelajar anjuran Mekdi dan Gempak sebagai inisiatif penting untuk kesihatan mental mahasiswa dengan memberi peluang mereka berehat dan berinteraksi.
- Beliau jelaskan golongan remaja dan mahasiswa berisiko tinggi hadapi masalah kesihatan mental kerana fasa perkembangan otak dan pencarian identiti diri.
- Program Gempakkan Kampus di UPM menampilkan artis popular dan aktiviti menarik termasuk sesi perkongsian ilmu serta ruang santai untuk warga kampus.
Pengasas Mental Kuat Central dan pencipta kandungan, Amirul Ramli menyifatkan penganjuran program seperti ‘Program Santuni Pelajar’ sebagai inisiatif yang baik untuk mahasiswa, khususnya dalam menjaga kesihatan mental.
Menurut Amirul, program anjuran Mekdi berkolaborasi dengan Gempak itu bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk berehat seketika daripada rutin pembelajaran, malah membolehkan mereka berinteraksi dan meluangkan masa bersama rakan-rakan.
Jelasnya, aktiviti sosial seperti itu penting bagi membantu menjaga kesejahteraan mental dalam kalangan mahasiswa.
“Pertama sekali sebenarnya asal ada program tu bagus untuk pelajar sebenarnya, mereka dapat keluar kan dan rutin mereka pun berubah sikit. Tak adalah menghadap belajar saja.
“Jadi bila ada sesuatu program ni, inilah peluang untuk rutin berubah dan mereka boleh jumpa dengan kawan-kawan. Bila ada aktiviti sosial ni baguslah untuk dari sudut kesihatan mental tu sendiri. Kalau topik tentang mental tu lagilah sebenarnya bagus,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Amirul turut menjelaskan golongan remaja antara yang lebih berisiko berdepan masalah kesihatan mental berikutan mereka sedang melalui fasa perkembangan otak serta proses mencari identiti diri.
Menurutnya, peringkat usia belasan tahun hingga awal 20-an merupakan tempoh seseorang masih dalam proses memahami diri sendiri dan mengumpul pengalaman untuk berdepan pelbagai cabaran kehidupan.
“Ramai remaja berdepan masalah ini disebabkan memang fasa di mana otak tu tengah berkembang. Jadi, mereka yang mudah untuk berisiko tinggi. Memang fasa belasan tahun hingga ke awal 20-an ni berisiko tinggilah sebenarnya, fasa-fasa yang otak tu baru berkembang.
“Peringkat tu mencari identiti dan juga pengalaman pun macam tak cukup kan? Maksudnya, pengalaman yang dilalui tu tak cukup untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran yang datang. Sebab tu remaja ni, pelajar ni, mudahlah sebenarnya, mudah untuk berhadapan dengan gangguan fikiran macam tu,” ujarnya.
Sekadar info, Gempakkan Kampus bersama Mekdi berlangsung pada Sabtu, di Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Program tersebut menampilkan barisan artis dan selebriti popular seperti Mierul Aiman, Dayang Nurfaizah, Qawiyaro, Financial Faiz, Yaya Zahir dan Amirul Ramli.
Amirul bersama Qawiyaro turut berkongsi mengenai isu kesihatan mental menerusi satu segmen yang dikendalikan oleh pengacara, Sean Lee.
Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan khas buat warga kampus, termasuk sesi perkongsian ilmu, permainan interaktif serta ruang santai untuk mahasiswa meluangkan masa bersama rakan-rakan.