Sekilas
- Amyrul Bakhtiar, dikenali sebagai ‘Raja Gelek Perodua’, tidak kisah jika peminat menegur atau minta bergambar serta menunjukkan aksi gelek di tempat awam.
- Selepas popular, Amyrul lebih peka dalam berinteraksi dengan orang ramai dan menghargai sokongan peminat yang membantu perjalanan kariernya.
- Amyrul turut terlibat dalam program My Escape 2026 anjuran Tourism Malaysia dan Astro Gempak, yang membolehkan dia meneroka aktiviti lasak di Pahang.
Personaliti media sosial dan pencipta kandungan, Amyrul Bakhtiar mengakui tidak kisah sekiranya ada orang yang menegur atau meminta untuk bergambar sejak dikenali sebagai ‘Raja Gelek Perodua’.
Menurut Amyrul, dia sentiasa terbuka untuk melayan peminat, termasuk mereka yang secara spontan memintanya menunjukkan aksi gelek ketika terserempak dengannya di tempat awam.
“Saya okay sahaja, tak adalah susah cuma sekarang ni kena kontrol sedikit. Kadang-kadang kalau tengah berjalan ada yang panggil untuk bergambar.
“Ada juga yang siap menjerit suruh saya bergoyang, tapi saya okay. Kalau siap yang sebut ‘abang mari bergoyang’, memang saya goyang punya,” katanya kepada Gempak.
Berkongsi mengenai perubahan selepas namanya semakin dikenali dan tular di media sosial, Amyrul berkata dia kini lebih peka terhadap cara dirinya berinteraksi dengan orang ramai.
Jelas Amyrul, dia juga tidak keberatan meluangkan masa untuk melayan individu yang menegurnya kerana menyedari sokongan mereka memainkan peranan penting dalam perjalanan kariernya.
“Perubahan yang saya rasakan adalah mulai sekarang saya kena selalu senyum dan saya juga tidak kisah layan mereka yang menegur saya.
“Tanpa mereka siapalah saya dan saya pun tak sangka lagu yang saya nyanyikan itu ramai pula yang suka,” ulasnya.
Dalam perkembangan lain, Amyrul yang juga merupakan jurujual kereta antara personaliti media sosial yang terlibat dengan program eksplorasi pelancongan, My Escape 2026 anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Astro Gempak.
“Terima kasih Astro Gempak kerana beri saya peluang untuk melibatkan diri dengan My Escape 2026.
“Saya juga merupakan seorang yang sukakan aktiviti lasak, jadi dengan adanya program My Escape 2026 ini saya boleh meneroka tempat dan aktiviti menarik di Pahang,” ujarnya.