Sekilas
- Bekas pelakon Zul Yahya kini menghadapi masalah kewangan apabila perniagaan makanan yang diusahakannya dilaporkan mengalami kesukaran sehingga menjejaskan keluarganya.
- Keluarga Zul dikatakan terpaksa tinggal di premis perniagaan dan berdepan tunggakan bil utiliti rumah, manakala Zul memerlukan dana sebanyak RM15,000 untuk meneruskan operasi.
- Zul sebelum ini meninggalkan dunia lakonan untuk fokus pada perniagaan makanan di Ipoh yang menawarkan masakan kampung, steambot, dan barbeku melalui jenama Zul Yahya Recipe.
Bekas pelakon Zul Yahya didakwa sedang melalui ujian hidup apabila perniagaan makanan yang diusahakannya dikatakan berdepan masalah sehingga menjejaskan keadaan kewangan keluarga.
Perkara itu mula menjadi perhatian selepas seorang pengguna Threads berkongsi mengenai keadaan Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Yahya yang dikatakan sedang bergelut untuk meneruskan operasi perniagaannya.
Menerusi perkongsian tersebut, individu berkenaan mendakwa keluarga Zul terpaksa tinggal dan tidur di premis perniagaan selain berdepan tunggakan bil utiliti rumah.
“Saya baru tengok siaran langsung Zul, dia cakap bisnes kedai makan sedang teruk, anak bini kena tidur dekat kedai dan bil TNB rumah tertunggak.
“Dia cadang nak cari tempat yang ada orang ramai, tapi modal tak cukup,” dakwanya.
Dalam masa sama, individu itu turut menyeru orang ramai membantu meringankan beban bekas pelakon drama Pepaya tersebut yang kini sedang cuba bangkit meneruskan kehidupan.
Menerusi satu video siaran langsung yang turut tular di media sosial, Zul mengakui dia memerlukan wang sebanyak RM15,000 dalam masa terdekat.
“Saya berterima kasih kepada anda semua yang transfer. Terima kasih. Subhanallah, saya doakan semoga Allah permudahkan urusan kehidupan kalian dunia akhirat dan dikurniakan kesihatan baik.
“Saya perlukan RM15,000 dalam masa terdekat, pening kepala. Tak tahulah kalau kalian berada di tempat saya ini,” katanya.
Sebelum ini, Zul memilih meninggalkan dunia lakonan dan memberi fokus kepada kehidupan lebih sederhana termasuk menjalankan perniagaan makanan di Ipoh, Perak menerusi jenama Zul Yahya Recipe yang menawarkan konsep masakan kampung serta steambot dan barbeku.