Sekilas
- Nora Danish mengakui anak sulungnya, Putra Rayqal, memberi sokongan agar dia kembali mendirikan rumah tangga supaya tidak kesepian.
- Pelakon itu menyerahkan soal jodoh sepenuhnya kepada ketentuan Allah dan sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan pasangan yang baik.
- Nora tidak menetapkan kriteria pasangan dari kalangan selebriti dan menganggap rakan sekerja hanya sebagai teman sekerja sahaja.
Masih belum bertemu jodoh, pelakon Nora Danish mengakui anak sulungnya iaitu Putra Rayqal memberi ‘lampu hijau’ untuk melihat ibunya kembali mendirikan rumah tangga.
Nora atau nama lengkapnya, Nora Mohd. Danish Hanif, berkata putera sulung yang kini berusia 17 tahun itu secara terbuka menyuarakan hasrat agar dia kembali bergelar isteri kerana enggan melihatnya kesepian.
“Anak sulung saya selalu cakap, mummy (panggilan ibu), saya rasa mummy patut berkahwin lagi kerana saya tak mahu mummy sunyi.
“Dia faham apabila sudah besar nanti, dia juga akan mempunyai kehidupan sendiri. Sebab itu dia selalu sarankan agar saya supaya berkahwin agar tak keseorangan,” katanya kepada Gempak.
Pelakon berusia 44 tahun itu berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui pada majlis tahlil untuk Tun Dr Siti Hasmah di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya baru-baru ini.
Tidak pernah menutup pintu hati, ibu tunggal kepada dua anak itu turut menyerahkan soal jodoh sepenuhnya kepada ketentuan Allah.
Malah dia juga sentiasa berdoa agar dikurniakan pasangan yang baik selain mampu membawanya ke arah kehidupan yang diredai.
“Saya memang sentiasa berdoa semoga Allah peliharakan saya dengan cara yang baik di mata-Nya. Itu paling penting.
“Tak kisahlah siapa pun, selagi Allah kata itu yang terbaik untuk saya, saya akan merelakan dan membuka pintu hati,” katanya.
Malah, Nora juga menjelaskan anak-anaknya tidak pernah mencampuri urusan peribadi atau menilai lelaki yang dikaitkan dengannya.
Mengulas kemungkinan menjalin hubungan dengan selebriti, katanya sejak dahulu dia menganggap rakan-rakan dalam industri hiburan sebagai teman sekerja sahaja.
Katanya, dia tidak pernah menetapkan kriteria pasangan hidupnya mesti daripada kalangan orang luar industri, sebaliknya percaya soal jodoh sudah ditentukan oleh Allah.
“Saya tak kisah jodoh saya siapa pun. Cuma naluri saya dari awal memang melihat rakan sekerja sebagai teman seperjuangan semata-mata.
“Cuma kita tak tahulah kalau Allah tentukan hati saya suatu hari nanti dengan lelaki yang sama profesion,” ujarnya
Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan Putra Rayqal sebelum bercerai dua tahun kemudian.
Pada 2017, dia mendirikan rumah tangga dengan Nedim Nazri tetapi perkahwinan mereka berakhir pada 19 Jun 2024. Mereka mempunyai seorang putera, Neqayl.