Bintang Hollywood Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh akan menerima anugerah pencapaian seumur hidup 'Golden Bear' pada Festival Filem Antarabangsa Berlin 2026.
Pengarah festival, Tricia Tuttle berkata, anugerah berprestij itu merupakan satu pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang beliau dalam dunia filem.
"Michelle adalah seorang artis dan pelakon dengan karya-karyanya melangkaui sempadan sama ada geografi, bahasa, atau wayang.
"Kehadirannya yang unggul, pilihan seni yang berani dan gaya uniknya telah meninggalkan kesan mendalam kepada generasi pembuat filem dan peminat di Berlinale serta di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan di sini.
Pada akhir 1980-an dan awal 1990-an, Michelle mula dikenali melalui filem-filem seperti Yes, Madam, Royal Warriors, Police Story III, dan Wing Chun, menjadikannya salah satu ikon utama aksi dan seni mempertahankan diri Asia.
Kejayaannya di peringkat antarabangsa tercapai pada 1997 menerusi filem James Bond Tomorrow Never Dies selain persembahan ikoniknya dalam Crouching Tiger, Hidden Dragon dan Everything Everywhere All at Once sekali gus memenangi Oscar bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada 2023.
Kini, Michelle menggalas watak Madame Morrible dalam filem muzikal Wicked: For Good yang akan berada di pawagam tidak lama lagi.
Anugerah 'Golden Bear' sebelum ini pernah dianugerahkan kepada Helen Mirren, Martin Scorsese, Meryl Streep, Steven Spielberg dan Tilda Swinton.
Sumber: Sinar Harian