Sekilas
- Klinik STL 2026 kembali dengan musim keempat dan buat pertama kalinya membuka peluang kepada peserta wanita untuk dipilih ke Kem Final bersama peserta lelaki.
- Program ini terbuka kepada pemain berusia 13 hingga 17 tahun dan akan diadakan di enam lokasi terpilih, dengan 40 peserta terbaik akan dipilih untuk menyertai Kem Final.
- Inisiatif Astro ini mendapat sokongan Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan serta Persekutuan Sepaktakraw Malaysia untuk membangunkan bakat muda dalam sukan sepak takraw.
Klinik STL 2026 kembali untuk musim keempat dengan buat julung kalinya, peserta wanita turut diberi laluan untuk dipilih ke Kem Final, bersama peserta lelaki yang terbaik.
Terbuka kepada pemain lelaki dan wanita berusia 13 hingga 17 tahun, inisiatif Astro ini memberi ruang kepada generasi muda untuk mengembangkan potensi serta membina pengalaman dalam sukan sepak takraw.
Bagi edisi 2026, seramai 40 peserta terbaik lelaki dan wanita akan dipilih untuk menyertai Kem Final selepas melalui siri Klinik STL di enam lokasi terpilih.
Menurut Nicholas John selaku Ketua Bahagian Sukan Astro, penganjuran ini merupakan satu usaha untuk mendekatkan generasi muda terhadap sukan sepak takraw.
“Apa yang bermula sebagai usaha untuk mendekatkan sukan sepak takraw kepada generasi muda kini telah berkembang menjadi platform pembangunan bakat yang lebih tersusun dan inklusif.
“Sepanjang empat musim penganjuran, Klinik STL telah melibatkan lebih 4,000 peserta dari seluruh negara, dan tahun ini kami melakar satu lagi pencapaian penting dengan membuka peluang kepada peserta wanita untuk turut bersaing merebut tempat ke Kem Final
“Sebagai peneraju kandungan dan sukan tempatan, Astro percaya pembangunan sukan perlu bermula dari peringkat akar umbi. Dengan sokongan CelcomDigi, Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kami berbangga melihat Klinik STL terus berkembang daripada sebuah klinik latihan kepada platform yang memberikan pendedahan, bimbingan dan laluan yang lebih jelas kepada bakat muda untuk melangkah ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berpendapat platform ini sangat penting bagi mengenal pasti bakat-bakat baharu dalam sukan sepak takraw.
“Klinik STL merupakan antara platform penting dalam usaha kami bersama Astro untuk mengenal pasti dan membangunkan bakat baharu dari peringkat awal.
“Malaysia sudah menempa nama di peringkat global dalam sukan sepak takraw, namun kita perlu terus memastikan adanya pelapis berkualiti yang mampu mengekalkan kecemerlangan dan bersaing di pentas antarabangsa.
“Pemilihan peserta terbaik untuk mengikuti Kem Final di Akademi Sepak Takraw Malaysia pula memberi mereka pendedahan kepada persekitaran latihan yang lebih moden dan canggih, sebagai sebahagian daripada usaha membentuk generasi pemain bertaraf dunia,” ujarnya.
Selain menjalani latihan bersama jurulatih kebangsaan, peserta Klinik STL 2026 akan turut mendapat pendedahan kepada ilmu dan pengalaman latihan mengikut standard pemain profesional, selain berpeluang berinteraksi secara dekat dengan idola sepak takraw negara. Pendedahan ini memberikan gambaran kepada peserta tentang tuntutan, disiplin dan persediaan yang diperlukan untuk berkembang dalam sukan ini.
Klinik STL 2026 akan berlangsung di enam lokasi terpilih, termasuk lokasi di sekolah dan kawasan luar bandar. Program di lokasi sekolah turut melibatkan pelajar daripada latar belakang masyarakat berbilang kaum, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Inisiatif ini turut diperkukuh dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha membangunkan bakat muda serta memperkasakan sukan sepak takraw di peringkat akar umbi.
Pendaftaran Klinik STL 2026 kini dibuka kepada lelaki dan wanita berusia 13 hingga 17 tahun. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, www.astro.com.my/klinikSTL.
Jangan lepaskan setiap aksi Sepak Takraw League musim ini yang akan bermula pada 6 Oktober 2026 hingga 10 Januari 2027. Langgan Pek Sports Astro One pada harga serendah RM69.99/sebulan (RRP: RM99.99/sebulan), atau strim serta-merta dengan Astro X3, penawaran baharu berasaskan penstriman tanpa memerlukan dekoder, pemasangan atau kontrak, bermula daripada RM39.99*.
Layari www.astro.com.my atau WhatsApp 03 9543 3838 untuk melanggan hari ini.