Sekilas
- Azira Syafinaz memilih untuk berhati-hati mengulas kontroversi video muzik Dolla yang diturunkan dari YouTube kerana penampilan mencolok mata.
- Azira menganggap teguran yang diterima Dolla sebagai panduan positif untuk memperbaiki diri dan menegaskan De Fam mempunyai garis panduan pemakaian tersendiri sejak awal.
- Azira memberi kata semangat kepada Dolla agar kekal kuat dan mengambil teguran secara positif dalam perjalanan mereka dalam industri muzik.
Penyanyi dan pelakon, Azira Syafinaz memilih untuk berhati-hati mengulas isu melibatkan kumpulan Dolla yang berdepan kontroversi selepas video muzik (MV) Question diturunkan daripada YouTube kerana didakwa berpenampilan mencolok mata.
Azira, yang juga anggota trio wanita De Fam, mengakui perkara itu terlalu sensitif untuk dibincangkan secara terbuka kerana bimbang kenyataannya akan disalah tafsir.
“Kalau nak tanya saya pasal isu itu, bagi saya sangat sensitif untuk saya bicarakan.
"Saya tidak mahu menimbulkan tanggapan yang salah dan membuat orang membuat spekulasi," katanya.
Menurut Azira, teguran yang diberikan oleh pihak tertentu bukanlah sesuatu yang patut dipandang negatif, sebaliknya boleh dijadikan panduan untuk memperbaiki diri.
“Bagi saya, apa yang betul itu betul. Kalau ada orang tegur tu maksudnya kita kenalah akur dan patuh.
“Kalau ada orang tegur, maksudnya orang nak tegur kita untuk come back,” katanya.
Mengulas hal berhubung pemakaian, Azira menjelaskan bahawa De Fam sememangnya mempunyai garis panduan pemakaian tersendiri sejak awal penubuhan kumpulan itu.
“Sejak awal, memang De Fam ada ‘code’ pemakaian.
“Manggis pun tak selesa pakai pakaian ketat, jadi dari dulu memang kami jaga pemakaian kami.
“Kalau orang tanya macam mana De Fam boleh, orang lain tak boleh… saya rasa tak boleh jadikan itu isu.
“Identiti dan cara masing-masing bawa diri pun berbeza,” katanya.
Walaupun enggan mengulas panjang, Azira bagaimanapun tetap menitipkan kata-kata semangat buat anggota Dolla yang masih baharu dalam industri.
“Apa yang saya boleh cakap, kekal kuat, jangan putus asa.
“Jauh lagi perjalanan mereka. Ambil teguran itu secara positif dan cuba perbaiki,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, video muzik (MV) Question milik Dolla diturunkan dari YouTube susulan teguran ramai pihak, termasuk Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Syarikat rakaman Universal Music Malaysia juga mengambil maklum tentang kebimbangan awam dan menghormati pandangan yang diberikan berhubung penampilan ahli kumpulan dalam MV berkenaan.