Sekilas
- Pengarah Charles Gozali dedahkan babak wajah disiat dalam filem Badut Gendong ambil masa hampir 10 bulan untuk disiapkan menggunakan CGI dengan teknik gerak perlahan.
- Pasukan khas dari MAGMA Entertainment bekerjasama dengan Dalang Digital untuk hasilkan kesan visual yang realistik bagi babak paling sukar itu.
- Filem seram aksi ini kini sudah mula ditayangkan di pawagam Malaysia sejak 25 Jun dan merupakan sebahagian daripada francais Universe Qodrat yang popular.
Pengarah filem Badut Gendong, Charles Gozali mendedahkan babak paling sukar untuk dihasilkan dalam naskhah seram aksi itu ialah adegan wajah disiat yang memerlukan proses kesan visual (CGI) selama hampir 10 bulan.
Menurut pemenang Piala Citra itu, babak berkenaan menjadi cabaran terbesar dari sudut teknikal kerana memerlukan perincian yang sangat teliti bagi memastikan hasilnya kelihatan realistik di layar perak.
“Kalau dari sudut teknikal, sebenarnya babak paling sukar ialah ketika adegan wajah disiat.
“Kebiasaannya dalam banyak filem lain, babak seperti itu dibuat dalam tempoh yang pantas atau pada kelajuan biasa.
“Tetapi untuk filem ini, kami memilih teknik gerak perlahan (slow motion), jadi setiap perincian perlu kelihatan sempurna. Proses CGI untuk babak itu sahaja mengambil masa kira-kira 10 bulan,” kongsinya.
Tambah Charles, kerumitan babak tersebut menyebabkan pihak produksi MAGMA Entertainment menubuhkan sebuah pasukan khas yang bekerjasama dengan syarikat kesan visual tempatan, Dalang Digital.
“Sejak kami memulakan penggambaran, pasukan CGI sudah memulakan proses awal yang mengambil masa sekitar enam bulan khusus untuk babak wajah disiat.
“Kami mempunyai pasukan khas dan memberikan kepercayaan kepada pasukan kendalian Gaga Nugraha dari Dalang Digital untuk menghasilkan babak tersebut,” ujarnya.
Menurutnya lagi, adegan berkenaan juga merupakan bahagian terakhir yang disiapkan sebelum filem itu dicetak dalam format Digital Cinema Package (DCP).
“Daripada keseluruhan proses pembikinan filem, babak itu adalah yang paling akhir disiapkan kerana kami benar-benar perlu memastikan setiap butiran kelihatan sempurna,” katanya.
Selepas mencetuskan fenomena di Indonesia, Badut Gendong kini bersedia menggegarkan pawagam Malaysia bermula 25 Jun lalu.
Filem tersebut merupakan antara naskhah di bawah francais Universe Qodrat yang telah mempunyai kelompok peminat tersendiri di Malaysia menerusi kejayaan filem Qodrat (2022) dan Qodrat 2 (2025).
Selain itu, filem ini merupakan terbitan MAGMA Entertainment, Komet Productions, Legacy Pictures, Skop Productions, Enotech, Astro Shaw, Applause, Virtuelines Entertainment, VMS Studio, Caravan Studio dan Alunan.
Diarahkan Charles Gozali, Badut Gendong mengisahkan Darso lakonan Marthino Lio, seorang penghibur jalanan yang kehilangan kewarasan selepas isteri dan bayi dalam kandungan mereka maut dibunuh sekumpulan samseng.
Dalam keadaan diselubungi kesedihan dan dendam, Darso menyembunyikan mayat isterinya di dalam kostum badut gendong sebelum pulang ke kampung halaman.
Namun, kepulangannya menemukan dia dengan sebuah kampung yang dikuasai pemaju tidak bertanggungjawab selain kemunculan kuasa gelap yang mencetuskan tragedi berdarah.
Selain Marthino Lio, filem tersebut turut dibintangi Clara Bernadeth, Dayinta Melira, Iskak Khivano, Totos Rasiti, Akbar Kobar, Vonny Anggraini dan pelakon veteran Jose Rizal Manua.
Sumber: medcom.id