Sekilas
- Arena Wan dedahkan bapanya, Iman Wan Tuck Meng, pada awalnya ragu-ragu dengan kebolehannya sertai Teater Muzikal Mansur & Liu kerana dia bukan penyanyi.
- Bapanya pernah halang Arena terima tawaran hasilkan single pertama kerana bimbang dia akan dieksploitasi dalam industri muzik.
- Arena akan bawa watak Tun Seri Anem dan nyanyikan tiga lagu secara langsung dalam pementasan teater yang berlangsung di Istana Budaya pada September ini.
Pelakon Arena Wan mendedahkan bapanya yang juga komposer dan penerbit, Iman Wan Tuck Meng pada awalnya meragui kemampuannya untuk menyertai Teater Muzikal Mansur & Liu arahan maestro legenda, Datuk M. Nasir.
Menurut Arena, 27, bapanya mengetahui dia menghadiri sesi uji bakat pementasan tersebut, namun tidak menyangka anak perempuannya akan terpilih memandangkan dia bukan seorang penyanyi.
“Dia tahu saya pergi uji bakat, tetapi tidak percaya saya akan dapat. Bapa saya cuma cakap, ‘semoga berjaya’.
“Dia tahu teater ini susah. Tambah pula, anak dia ini bukanlah penyanyi.
“Bagi dia, mungkin saya masih belum bersedia. Saya tidak tahu, mungkin sebab dia melihat saya sebagai anaknya. Dia memang terus terang beritahu saya belum bersedia,” katanya.
Arena berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Teater Muzikal Mansur & Liu di Istana Budaya (IB), baru-baru ini.
Biarpun menghormati pandangan bapanya yang mempunyai pengalaman luas dalam industri muzik, Arena mengakui tertanya-tanya bila dirinya akan dianggap benar-benar bersedia.
“Saya sudah 27 tahun, jadi bila saya hendak dianggap sudah bersedia?
“Dia cakap perkara sama sejak saya masih bersekolah,” ujarnya.
Malah, Arena mendedahkan bapanya pernah menghalangnya menerima tawaran menghasilkan single pertama yang merupakan lagu runut bunyi sebuah drama.
Katanya, larangan tersebut dibuat kerana bapanya bimbang dia akan menjadi mangsa pihak yang mahu mengambil kesempatan dalam industri.
“Ketika pertama kali mendapat tawaran menghasilkan single untuk runut bunyi drama, dia tidak benarkan dan melarang saya.
“Alasannya, nanti orang akan gunakan saya atau ambil kesempatan.
“Namun, saya beri dia peluang untuk dipercayai sebab dia pernah bekerja dalam industri muzik,” katanya.
Arena berkata, pengalaman bapanya sebagai komposer dan penerbit membuatkan dia memahami kebimbangan tersebut bukan dibuat tanpa alasan.
“Dia sudah berjumpa dengan pelbagai jenis orang dan melalui macam-macam pengalaman.
“Mungkin dia lebih tahu,” katanya.
Dalam pada itu, Arena mengakui perjalanan seninya sejak awal juga tidak mendapat ‘lampu hijau’ sepenuhnya daripada kedua-dua ibu bapanya.
Namun, keinginan yang kuat membuatkan dia nekad meneruskan minat dalam bidang lakonan.
“Lakonan saya belajar sendiri sejak awal dan ibu bapa sebenarnya tidak benarkan saya masuk industri ini.
“Saya tetap masuk juga. Saya degil, memberontak dan buat sahaja.
“Dewi Remaja pun sebenarnya mereka tidak mahu saya sertai pada awalnya, tetapi saya tetap pergi,” katanya.
Arena percaya pengalaman bergelut pada fasa awal kerjaya menjadi antara proses yang membentuk dirinya sebagai pelakon hari ini.
Katanya, kedua-dua ibu bapanya juga melihat sendiri perkembangan dirinya termasuk penguasaan bahasa Melayu dan mutu lakonan yang semakin baik.
“Mereka tahu saya bergelut pada awal pembabitan dalam lakonan.
“Mungkin mereka rasa ini perjalanan yang perlu saya lalui. Perkara itu yang membuatkan saya menjadi lebih kuat,” katanya.
Menerusi Teater Muzikal Mansur & Liu, Arena diberi tanggungjawab menghidupkan watak Tun Seri Anem yang merupakan sepupu kepada Sultan Mansur Shah.
Lebih mencabar, Arena yang mengakui bukan penyanyi juga bakal mempersembahkan tiga buah lagu secara langsung sepanjang pementasan.
Teater Muzikal Mansur & Liu mengangkat kisah Sultan Melaka keenam, Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu dari Dinasti Ming berdasarkan Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.
Pementasan sulung arahan M. Nasir itu dijadual berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya dari 10 hingga 20 September depan.