Sekilas
- Aliff Aziz dipilih sebagai watak utama Sultan Mansur dalam teater muzikal Mansur & Liu walaupun menerima kritikan di media sosial berikutan kontroversi peribadi.
- Pengarah produksi, Datuk M Nasir dan Datin Marlia Musa, menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan bakat dan kesungguhan Aliff, yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam latihan teater walaupun ini kali pertamanya beraksi di pentas teater.
- Mansur & Liu menampilkan gabungan pelakon dan penyanyi lain yang berbakat serta karya muzik asli M Nasir, yang akan dipentaskan di Istana Budaya mulai 10 hingga 20 September dengan 14 pementasan.
Bukan mahu menafikan suara-suara yang tidak berpuas hati terutama yang diluahkan di media sosial mengenai pemilihan Aliff Aziz sebagai watak utama, Sultan Mansur, Puteh atau Pendekar Hitam dalam teater muzikal Mansur & Liu kerana kontroversi masalah peribadi yang ditimbulkan pelakon ini.
Namun melihat dalam konteks yang lebih besar, membuang emosi yang sangat peribadi atau menyampaikan ‘berita’ yang belum tentu benar 100 peratus hanya kerana terpedaya dengan perasaan sendiri atau sekadar memancing trafik dan mengikut keriuhan di media sosial, ada hal yang lebih perlu diberi perhatian.
Seperti setiap keputusan punya impak, begitu juga yang berlaku saat pihak produksi terutama Datuk M Nasir dan Datin Marlia Musa memutuskan memilih Aliff berbanding ramainya aktor lain yang ikut serta uji bakat untuk merebut watak Sultan Mansur.
“Secara mental, kita telah bersedia bila kita pilih dia. Jadi bila umum kita jangka, (segelintir netizen kurang senang), tapi sebenarnya Datuk tidak terkesan kerana beliau tidak ada akses.
“Dan saya juga tidak kongsi sentimen netizen kerana saya rasa beliau tidak perlu tahu,” ujar Marlia bercakap tentang keriuhan yang timbul di media sosial kerana memilih Aliff yang disifatkan bermasalah, tidak layak duduk dalam industri apa lagi diberi peluang bangkit kerana kesilapan dalam isu peribadi dan rumah tangganya sebelum ini.
M Nasir kemudian menyambung: “Saya faham mereka (netizen) tapi saya tidak ambil terlalu berat. Saya lihat ia sebagai bukti keghairahan mereka terhadap industri kita.
“Saya juga tidak boleh menjuri tentang bakat kerana kalian akan menonton nanti, tapi tentang kesungguhan dia (Aliff) saya ingat orang akan terperanjat.”
Dan setelah diberi kesempatan menonton sedikit latihan Mansur & Liu yang bakal dipentaskan di Istana Budaya selama 10 hari dengan 14 pementasan bermula 10 September ini secara eksklusif, persepsi-persepsi liar yang dibangkitkan mengenai Alif dipatahkan dengan dedikasi pelakon tersebut.
Semua kriteria yang dicari dalam karakter Sultan Mansur terutama dipersembahkan dalam bentuk muzikal, mampu digalas baik oleh Alif. Sebagai pelakon, meski pertama kali bermain di pentas teater, lakonannya menjadi dan sebagai seorang penyanyi tentu sahaja Aliff juga memberi yang terbaik.
Sementelah, Mansur & Liu bukan semata-mata tentang Aliff atau Sultan Mansur, tetapi mengenai kerjasama dan kemampuan pelaku seni lain ; dari Sherry Al Hadad, Amerul Affendi, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan serta Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad menghidupkan aspirasi M Nasir menerusi karya agung pertamanya di gelanggang teater.
Malah sama seperti Aliff yang pertama kali beraksi di pentas teater, pemegang watak Liu, Melinda Dadew juga tidak kurang cemerlang. Pada sesi latihan yang dipertontonkan, mereka saling memberi dan membalas energi dengan chemistry yang baik.
Mansur & Liu juga adalah tentang isi cerita yang dipersembahkan dengan jiwa seni dan artistiknya seorang seniman seperti M Nasir. Mendengar ‘secara kasar’ lagu-lagu yang skornya dibikin oleh sifu ini dengan bait lirik yang indah serta tidak berlebihan, sudah membuat kumpulan media yang menonton berasa ralit.
Naskhah teater muzikal Mansur & Liu punya aura dan sentuhan M Nasir seperti beliau menghasilkan karya-karyanya yang punya signatur sendiri - sehingga terlupa tentang pelakon lelaki utamanya yang tidak disenangi.
Mansur & Liu terus menarik minat penonton tentang sebuah hikayat yang dicampur dengan imaginasi yang dipenuhi sekitar 30 buah lagu dengan pelbagai genre yang dibikin khas menghidupkan muzikal ini., sekaligus menerjemahkan intepretasi M Nasir tentang kecintaannya terhadap teater.
“Nak katakan saya penggiat teater tidaklah, tapi peminat. Saya peminat teater. Saya telah bergiat dalam teater lama sebelum masuk dalam bidang nyanyian. Saya teater dulu. Kemudian berlakon apa radio apa semua dan kemudian TV dan teater. Kemudian baru jadi penyanyi.
“Jadi bila nak buat cerita ni, mudah bagi saya. Buat lagu, inspirasi itu senang. Dia mencurah-curah sebab memang sudah bermain dalam saya punya benak sejak saya temui
hikayat itu,” jelas M Nasir tentang naskhah yang telah melalui beberapa rombakan selepas pertama kali difikirkan beberapa tahun silam.
Sekali lagi dałam perbualan santai kami di Restoran Sejiwa, M Nasir menekankan tentang dedikasi atau kesungguhan barisan pemain Mansur & Liu, terutama Aliff dan Melinda kerana kedua-duanya ‘hijau’ di pentas teater.
“Kerunsingan saya juga dipadamkan dengan kesungguhan mereka. Mereka cepat belajar. Saya cerewet memilih orang tapi mereka boleh lakukan,” kata M Nasir yang juga menyifatkan Aliff sebagai anugerah Tuhan yang melengkapkan produksi Mansur & Liu.
Mansur & Liu diterbitkan M. Nasir dan Datin Marlia Musa menerusi Roman Abadi dengan kerjasama Icon Entertainment. Pementasan tersebut berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 10 hingga 20 September dengan harga tiket di antara RM88 hingga RM408 mengikut kategori tempat duduk.