Skip to main content

Hiburan

Bekas Suami Raja Azura Masih Ghaib, Dah Iklan Di Akhbar Pun ‘Tak Jalan’… Sebutan Semula 19 Januari Tahun Depan

Raja Azura

Bekas suami kepada pengacara Raja Azura masih gagal hadir ke mahkamah meskipun penyiaran iklan di akhbar telah dibuat bagi menyelesaikan tuntutan nafkah tiga anaknya. 

Peguam syarie kepada Raja Azura iaitu Mohammad Amirul Hanizan memaklumkan perkara tersebut ketika hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Rabu. 

Menurutnya iklan yang telah dibuat pada 26 November lalu menyebut Adzmin Osman perlu hadir ke mahkamah untuk urusan berkenaan. 

"Dalam iklan telah disebut responden (Adzmin) perlu hadir hari ini. Namun saya dapati dia tiada. Jadi keputusan hakim boleh dibuat seterusnya sama ada dia hadir atau tidak," katanya kepada mStar. 

Mohammad Amirul, beliau sudah menyerahkan laporan kepada pendaftar mahkamah mengenai notis  pengiklanan mencari Adzmin di akhbar Berita Harian pada 26 November lalu. 

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan seterusnya pada 19 Januari tahun depan dan membenarkan kebenaran memulakan saman pelaksanaan terhadap Adzmin. 

Peguam juga memberitahu Adzmin boleh dikenakan tindakan waran tangkap sekiranya masih gagal untuk memberi kerjasama berhubung tuntutan yang dibuat oleh Raja Azura. 

"Jika dia datang, hakim akan jalankan siasatan tentang permohonan yang dibuat. 

"Jika tidak ditemui dia boleh dikenakan waran tangkap. Tetapi kena ada usaha untuk mencari dahulu," ujarnya. 

Raja Azura atau Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 53, memfailkan permohonan untuk melaksanakan perintah nafkah terhadap Adzmin pada September lalu selepas 15 tahun bercerai. 

Untuk rekod, Raja Azura dan Adzmin yang juga anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, mendirikan rumah tangga pada tahun 2001.

Mereka kemudian bercerai pada 28 September 2010.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23; Megat Luqman Hakim Adzmin, 22; dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 20.

Sumber: Mstar

Must-Watch Video

Advertisement