Sekilas
- Danial Kifli terkejut apabila dipilih menerima ‘Priority Pass’ dan menjadi peserta pertama layak ke pentas akhir Big Stage X Rocketfuel.
- Dia tidak mengambil hati kecaman netizen dan menganggap rezeki setiap peserta berbeza dalam pertandingan ini.
- Qilo dan Aliff Kimiey diumumkan tersingkir pada minggu separuh akhir, manakala hadiah utama bernilai RM200,000 menanti pemenang.
Bintang program Big Stage X Rocketfuel, Danial Kifli mengakui tidak menyangka dirinya dipilih untuk menerima ‘Priority Pass’ sekali gus menjadikan dirinya peserta pertama yang layak ke pentas akhir program berkenaan.
Menurut Danial atau Muhammad Ariff Danial Kifli, dia tidak menyangka kerana merasakan terdapat peserta lain yang lebih layak menerima kelebihan tersebut.
“Saya sebenarnya memang tidak menjangkakan untuk dapat priority pass tersebut.
“Saya nampak kawan-kawan lain yang lebih layak dan popular dan vokal lebih padu yang sepatutnya diselamatkan, jadi bila nama saya dipanggil memang saya sangat terkejut,” katanya kepada Gempak.
Danial berkongsi perkara tersebut ketika sidang media konsert separuh akhir Big Stage X Rocketfuel pada Ahad.
Ditanya mengenai kecaman sesetengah pihak yang dilihat tidak berpuas dengan keputusan itu, pelantun lagu Pergilah Cinta ini memilih untuk tidak mengambil hati.
Ujarnya, dia sudah biasa berdepan kecaman sejak mula membina nama dalam industri seni malah menganggap setiap individu mempunyai rezeki masing-masing.
“Saya sudah biasa dengan perkara ini (dikecam) sejak dulu lagi saya dah ada sedikit pengalaman dalam industri.
“Bila lagu saya tercalon sebagai top 5 Astro Gempak, ada yang mempertikaikan.
“Rezeki saya dapat jumlah tontonan tinggi untuk lagu sendiri pun ada yang kata tak layak, jadi saya tak kisah kerana rezeki masing-masing,” katanya lagi.
Mengulas pula perbandingan yang diberikan sesetengah netizen dengan peserta lain, Danial berpendapat setiap bintang yang bertanding mempunyai kekuatan serta kelemahan tersendiri.
“Kalau netizen nak bandingkan saya dengan peserta lain, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan sendiri.
“Untuk yang tersingkir pada malam ini (Ahad) pun mungkin rezeki mereka setakat itu sahaja.
“Minggu lepas saya di kedudukan tiga terbawah juga, semuanya bergantung kepada rezeki. Saya tidak berkecil hati sekiranya ada yang mempertikaikan keputusan priority pass itu,” ujarnya.
Pada malam Ahad, Danial menerima kelebihan ‘Priority Pass’ daripada penaja sekali gus mengesahkan menjadi peserta pertama yang layak ke pentas akhir.
Sementara itu, dua bintang iaitu Qilo dan Aliff Kimiey diumumkan tersingkir sekaligus terkandas di minggu separuh akhir.
Sepanjang lapan minggu pertandingan, para bintang bakal berentap dengan tiga pemenang utama bakal menerima Rocketfuel Artist Development Contract bernilai sehingga RM200,000 secara keseluruhan.
Sebelum ini, seramai 11 peserta yang bersaing pada musim ini terdiri daripada Sufie Rose, Qilo, Rieffa, Danny, Aliff Kimiey, Yad-z, Ranisha, Danial Kifli, Sabrina, duo Adam & Nazmie serta finalis TTMM2 iaitu Hussain yang dipilih menerusi ‘Exclusive Spot’.
Hadiah itu merangkumi penghasilan single dan video muzik, latihan vokal, pembangunan imej, sokongan pemasaran serta bimbingan kerjaya secara profesional.
Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Azeva, jangan lupa untuk saksikan Big Stage X Rocketfuel setiap hari Ahad pada jam 9 malam di Astro Ria serta strim episod penuh menerusi Astro GO dan Sooka.