Sekilas
- Aisha Retno jelaskan keputusan juri tidak menggunakan Immuniti X untuk selamatkan Rieffa kerana masih terlalu awal dan hanya ada dua peluang sepanjang pertandingan.
- Penurunan prestasi Rieffa dari minggu ke minggu menjadi faktor utama mengapa dia terpaksa tersingkir dari Big Stage Rocketfuel.
- Aisha berharap Rieffa terus berusaha dan yakin rezekinya dalam industri muzik akan tetap terbuka walaupun tersingkir.
Juri tetap Big Stage Rocketfuel (BSR), Aisha Retno, menjelaskan keputusan untuk tidak menggunakan Immuniti X bagi menyelamatkan peserta Rieffa daripada penyingkiran bukan dibuat tanpa pertimbangan.
Menurut Aisha, barisan juri berpendapat masih terlalu awal untuk menggunakan kelebihan tersebut memandangkan mereka hanya mempunyai dua peluang untuk berbuat demikian sepanjang pertandingan.
“Kami rasa terlalu awal untuk kami berikan Immuniti X kepada sesiapa sahaja yang harus tersingkir. Sebab kami rasa immuniti X itu adalah satu permata untuk kami simpan sebab kami ada dua dan kalau nak gunakan pun pada saat-saat genting,” katanya kepada Gempak.
Kata Aisha, keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira prestasi Rieffa yang menunjukkan penurunan dari minggu ke minggu.
"Kalau kita lihat graf prestasi Rieffa, markahnya agak menurun. Itu antara faktor yang menyebabkan perjalanan dia terpaksa berakhir di sini," jelasnya.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Sutera itu mengakui dia sebenarnya tidak mahu melihat Rieffa meninggalkan pertandingan kerana percaya peserta berusia 18 tahun itu masih mempunyai potensi besar untuk digilap.
“Tapi kalau boleh sebenarnya kami tak nak dia tersingkir, kita masih nak lihat potensi dia dan apa yang dia boleh bawakan di pentas Big Stage tapi berbalik kepada rezeki. I wish him all then best, tolong jangan berhenti dan saya mahu lihat perjalanan dia dalam industri ini.
“He's so young, he's so bright, he's so playful and yeah we wish him all the best. Saya sebenarnya sangat terkejut juga rezekinya terhenti di sini tetapi saya pasti rezeki di luar sana insya Allah mengalir macam air untuk dia,” ujar Aisha.