Sekilas
- Busana etnik yang digayakan Bella Astillah dan Syed Saddiq ketika majlis perkahwinan mereka di Kota Kinabalu adalah pakaian tradisional suku kaum Kedayan, bukan Suluk atau Dusun seperti yang disangka ramai.
- Suku kaum Kedayan merupakan kelompok majoriti di beberapa kawasan seperti Labuan, Brunei, Lawas, Limbang, Menumbok, Beaufort, dan Sipitang, dengan bahasa pertuturan yang hampir sama dengan masyarakat Brunei.
- Perbezaan utama antara Kedayan dan Brunei adalah pada sebutan huruf 'R' yang tidak berbunyi dalam bahasa Kedayan, dan busana yang dipakai Bella adalah dari suku Kedayan Kubamban.
Busana etnik yang digayakan pasangan pengantin, Bella Astillah dan Syed Saddiq ketika majlis perkahwinan mereka di Kota Kinabalu pada Sabtu lalu mencuri perhatian ramai.
Malah, pakaian tersebut turut menjadi perbincangan apabila ada yang menyangka ia merupakan busana tradisional suku kaum Suluk dan Dusun.
Seorang perunding hartanah dikenali sebagai Prince Property menerusi TikTok tampil menjelaskan busana yang digayakan pasangan itu sebenarnya berasal daripada suku kaum Kedayan.
“Ada yang cakap baju suluk, ada yang cakap baju dusun. Sebenarnya baju etnik yang dipakai oleh Bella dan Syed Saddiq adalah baju suku kaum Kedayan.
“Apa sebenarnya suku kaum Kedayan ni? Suku kaum Kedayan ni bukan suku kaum Kagayan, bukan daripada Suluk, bukan daripada KDM.
“Tapi bangsa majoriti yang kamu boleh nampak di Labuan, Brunei, Lawas, Limbang, Menumbok, setengah daripada Beaufort, Sipitang, memang majoriti dia berbangsa Kedayan l macam Bella Astillah sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu, individu berkenaan turut menjelaskan perbezaan antara masyarakat Kedayan dan Brunei, termasuk dari segi bahasa pertuturan.
Katanya, masyarakat Kedayan dipercayai merupakan orang darat di Brunei pada suatu ketika dahulu, manakala bahasa yang digunakan kedua-dua kelompok itu mempunyai persamaan yang sangat ketara.
“Jadi apa beza Kedayan dan juga Brunei? Sebenarnya Kedayan ini adalah orang darat di Brunei satu ketika dulu. Bahasanya 99 peratus hampir sama.
“Cuma orang Kedayan, huruf R itu memang tidak berbunyi. Contohnya durian, kita panggil ‘duyan’, lebih kurang begitulah,” jelasnya.
Tambahnya, busana yang dipakai Bella ketika majlis persandingan di Kota Kinabalu itu pula merupakan pakaian tradisional suku kaum Kedayan Kubamban.
“Berkenaan dengan baju yang dipakai oleh Bella Astillah sewaktu persandingan di Kota Kinabalu itu adalah baju suku kaum Kedayan Kubamban.
“Ramai lagi yang belum tahu berkenaan dengan bangsa ini,” katanya lagi.
Sumber - TikTok