Skip to main content

Selebriti

Bukan Sekadar Percutian, Tourism Malaysia & Astro Gempak Anjur MY Escape 2026, Terokai Keunikan Pahang!

Bukan Sekadar Percutian, Tourism Malaysia & Astro Gempak Anjur MY Escape 2026, Terokai Keunikan Pahang!

Sekilas

  • Tourism Malaysia dan Astro Gempak menganjurkan program My Escape 2026 selama tiga hari untuk mempromosikan tarikan pelancongan dan budaya unik di Pahang.
  • Peserta dari Malaysia dan negara serantau akan meneroka destinasi seperti Genting Highlands, Kuantan, dan Cherating melalui cabaran berkumpulan yang interaktif dan kreatif.
  • Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran pelancongan Pahang melalui kandungan digital serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.
Advertisement

Tourism Malaysia dengan kerjasama Astro Gempak menganjurkan sebuah program eksplorasi pelancongan, My Escape 2026 bagi mengetengahkan kepelbagaian tarikan pelancongan, budaya tempatan serta pengalaman unik di Pahang.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Oktober 2026 itu dianjurkan bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.

Advertisement

Menariknya lagi, program ini membawa peserta menerokai beberapa destinasi menarik termasuk Genting Highlands, Bentong, Kuala Gandah, Kuantan dan Cherating.

Menerusi gabungan keindahan alam semula jadi, hidupan liar, gastronomi, tarikan kebudayaan serta pengalaman tempatan, MY Escape 2026 bertujuan memperkenalkan keunikan Pahang kepada khalayak yang lebih luas melalui kandungan digital yang interaktif dan menarik.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, MY Escape 2026 mencerminkan komitmen pihaknya dalam mempromosikan destinasi pelancongan Malaysia menerusi pengalaman imersif dan penceritaan yang menarik.

Advertisement

“Kerjasama kami dengan Astro Gempak membuka peluang untuk mengetengahkan tarikan Pahang, budaya tempatan, gastronomi dan komuniti menerusi kandungan yang dekat dengan khalayak digital masa kini.

“Melalui inisiatif seperti ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk menerokai kepelbagaian tarikan pelancongan Malaysia, selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 dan aspirasi Pahang First yang mengutamakan pembangunan serta potensi pelancongan negeri itu.

“Usaha ini turut memperkukuh momentum promosi kempen berkenaan, selain memperkenalkan tarikan dan pengalaman unik Pahang kepada khalayak yang lebih luas,” katanya.

Program berkonsepkan eksplorasi itu menghimpunkan seramai 24 wakil media, pemimpin pendapat utama (KOL) serta pencipta kandungan digital dari Malaysia dan beberapa pasaran serantau terpilih termasuk China, Laos, Filipina, Vietnam dan Indonesia.

Para peserta akan dibahagikan kepada kumpulan yang terdiri daripada tiga orang bagi menyertai pelbagai cabaran secara berkumpulan, sekali gus menggalakkan interaksi rentas budaya dan mengetengahkan destinasi pelancongan dari sudut pandang berbeza.

Kerjasama bersama Astro Gempak itu turut mencerminkan usaha Tourism Malaysia memperluas promosi destinasi menerusi pendekatan penceritaan digital yang lebih segar dan dekat dengan khalayak masa kini.

Dengan memanfaatkan platform digital Astro Gempak serta capaian media dan pencipta kandungan yang terlibat, program berkenaan diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap tarikan pelancongan Pahang, selain menggalakkan lebih ramai pelancong menerokai kepelbagaian destinasi di Malaysia.

Sepanjang program berlangsung, setiap kumpulan akan dibekalkan pasport program bagi merekodkan kemajuan mereka di setiap lokasi pemeriksaan yang ditetapkan.

Di setiap lokasi, peserta perlu menyelesaikan tugasan tersembunyi dan mendapatkan cop hijau untuk meneruskan perjalanan ke peringkat seterusnya. Cop merah pula menandakan tugasan yang diberikan tidak berjaya diselesaikan.

Format berkenaan menggabungkan aktiviti penerokaan destinasi dengan elemen kerja berpasukan, kreativiti dan penyelesaian masalah.

Antara aktiviti menarik yang disediakan ialah lawatan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, yang membolehkan peserta menyertai aktiviti memberi makan dan memandikan gajah.

Di Bentong Farm pula, peserta perlu mengenal pasti lokasi atau objek berdasarkan petunjuk visual sebelum menyertai cabaran memberi makan haiwan.

Sementara itu, cabaran di Cherating merangkumi aktiviti menghasilkan seni celupan ikat atau tie-dye serta aktiviti kitar semula kreatif atau upcycling. Peserta turut berpeluang menyertai cabaran Sky Walk di Kuantan 188.

Di Kuantan Art Street, cabaran Colour of Kuantan pula menguji kreativiti peserta untuk merakam gambar yang menggambarkan identiti Kuantan dan Pahang berdasarkan warna yang ditetapkan.

Jadual perjalanan program turut merangkumi penginapan semalam di Swiss-Garden, sekali gus memberi peluang kepada peserta menikmati pengalaman di destinasi berkenaan.

Melalui kerjasama berterusan bersama organisasi media dan pencipta kandungan digital, Tourism Malaysia berharap dapat memperkukuh kesedaran terhadap destinasi pelancongan tempatan serta memperluas capaian promosi Malaysia kepada khalayak antarabangsa.

Program ini juga mengetengahkan pelancongan pandu sendiri (self-drive tourism), yang menggalakkan pelancong menerokai Malaysia mengikut keselesaan masing-masing, menemukan lokasi menarik yang kurang diketahui ramai serta menikmati kepelbagaian tarikan negara.

Inisiatif berkenaan diharap dapat menyokong usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.


 

Anda mungkin berminat dengan

70mai A800SE Dashcam 4K Resolution + HDR | Built-in GPS & ADAS | Supercapacitor | Dual-Channel | App Control

70mai A800SE Dashcam 4K Resolution + HDR | Built-in GPS & ADAS | Supercapacitor | Dual-Channel | App Control

Must Watch Video

Advertisement