Sekilas
- Pengarah Zulaikha Zakaria berterima kasih atas sokongan padu peminat terhadap KUDRAT 1968: High Council yang mendapat sambutan luar biasa.
- Filem ini menggabungkan empat episod siri premium dengan filem layar lebar dan telah meraih kutipan RM12.5 juta dalam empat hari tayangan.
- Zulaikha menasihatkan penonton supaya tidak merakam atau menyebarkan spoiler agar lebih ramai dapat menikmati pengalaman menonton di pawagam.
Pengarah, Zulaikha Zakaria menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua peminat yang tidak putus-putus memberikan sokongan terhadap naskhah KUDRAT 1968: High Council.
Menurut Zulaikha, dia sama sekali tidak menyangka filem berkenaan menerima sambutan yang begitu hebat daripada penonton.
“Saya sama sekali tak pernah menjangkakan sambutan yang hebat sebegini.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua peminat yang tak putus-putus memberikan sokongan dari empat episod menerusi drama dan sekarang filem pula,” katanya.
Berkongsi mengenai perjalanan kerjayanya sebelum bergelar pengarah, Zulaikha memaklumkan dia terlebih dahulu memulakan langkah dalam industri kreatif bersama Astro Gempak.
Jelasnya, sepanjang dua tahun berkhidmat di Astro Gempak, dia banyak menghasilkan kandungan berjenama (branded content) untuk pelanggan sebelum mendapat peluang menyertai Astro Shaw sebagai penulis.
“Selepas dua tahun, saya dapat peluang untuk menyertai Astro Shaw sebagai penulis dan filem pertama yang saya tulis adalah filem Pusaka.
“Kemudian, saya juga terlibat dengan beberapa naskhah seperti filem Rahsia serta naskhah Astro First seperti Mulut Masin dan Comel sehinggalah saya menjadi pengarah bersama bagi naskhah High Council dan sekarang Alhamdulillah mengarah untuk KUDRAT 1968: High Council,” ujarnya.
Dalam masa sama, Zulaikha turut menitipkan pesanan kepada penonton agar tidak merakam atau menyebarkan spoiler filem berkenaan kepada orang lain.
Sebaliknya, dia berharap penonton dapat memberikan peluang kepada mereka yang belum menonton untuk menikmati sendiri pengalaman menyaksikan KUDRAT 1968 di pawagam.
“Cuma saya nak pesan di sini adalah jangan rakam dan bagi spoiler kepada orang lain yang belum tonton.
“Beri peluang kepada orang lain untuk menonton dan rasai sendiri pengalaman melalui tontonan di pawagam,” katanya.
Terbaharu, KUDRAT 1968: High Council terus mencipta fenomena apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM12.5 juta merangkumi empat hari tayangan serta tayangan awal.
Sambutan ini bukan sahaja menjadi pemangkin kepada kejayaan filem tersebut, malah membuktikan kemampuan karya tempatan untuk mencetuskan fenomena dan membina komuniti peminat yang kukuh.
Menerusi pendekatan inovatif ‘One Story, Two Formats’, KUDRAT 1968 memperkenalkan pengalaman penceritaan yang menggabungkan empat episod siri premium dengan sebuah filem layar lebar.
Diarahkan oleh Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff, filem ini menampilkan barisan pelakon termasuk Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Akmal Asyraf, Dai Fuad, Evertts Gomes dan Chech Harith dan ramai lagi.
KUDRAT 1968 kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara. Untuk perkembangan terkini tentang filem, ikuti akaun media sosial Astro Shaw.