Sekilas
- George Russell mula menceburi sukan permotoran sejak usia tujuh tahun dan pernah memenangi GP3 serta Formula 2 sebelum beraksi dalam F1.
- Beliau memulakan kerjaya F1 bersama Williams pada 2019 dan dikenali sebagai 'Mr Saturday' kerana prestasi cemerlangnya dalam sesi kelayakan.
- Russell menyertai Mercedes pada 2022, meraih kemenangan sulung di Grand Prix São Paulo, dan nombor 63 menjadi identitinya yang diambil dari abangnya.
Nama pelumba Formula 1 (F1), George Russell tidak asing lagi dalam dunia sukan permotoran itu ditambah pula kehadirannya bersempena perlumba F1 Bahrain di Sepang, Malaysia telah membuatkan ramai peminat tidak keruan.
Bukan sahaja tidak keruan malah, rata-rata peminat turut meluahkan rasa sebak melihat Russell yang kelihatan sebak selepas gagal menamatkan saingan tersebut apabila disahkan Did Not Finish (DNF) kira-kira lima pusingan sebelum tamat pertandingan.
Pastinya ramai yang tertanya-tanya mengapakah pelumba pasuka Mercedes-AMG Petronas ini mempunyai begitu ramai peminat sehinggakan mereka turut bersedih dengan keputusan tersebut.
Jadi, Gempak ingin membawakan kepada anda beberapa fakta menarik mengenai perjalanan karier Russell yang ketika ini menjadi kegilaan ramai terutama sekali dalam kalangan wanita.
1. Mula Terlibat Dengan Sukan Permotoran Di Usia Tujuh Tahun

Minat Russell terhadap dunia permotoran bermula sejak kecil apabila dia mula menceburi sukan karting ketika berusia tujuh tahun.
Malah, minatnya terhadap sukan itu turut dipengaruhi oleh abangnya, Benjy Russell, yang terlebih dahulu terlibat dalam perlumbaan karting.
Bakatnya mula menyerlah apabila dia berjaya meraih beberapa kejuaraan sebelum melangkah ke kategori perlumbaan yang lebih kompetitif.
2. Pernah Bergelar Juara GP3 dan Formula 2

Sebelum beraksi dalam Formula 1 (F1), Russell terlebih dahulu membuktikan kemampuannya menerusi beberapa kejohanan perlumbaan peringkat junior.
Pada 2017, dia muncul juara GP3 Series sebelum mengulangi kejayaan itu dengan menjuarai Formula 2 pada 2018.
Kejayaan tersebut menjadi antara pencapaian penting yang membuka laluan buat Russell untuk melangkah ke pentas F1 pada 2019.
3. Memulakan Karier F1 Bersama Williams

Russell memulakan kariernya dalam sukan F1 bersama pasukan Williams pada 2019.
Sepanjang tiga musim bersama pasukan itu, Russell berdepan cabaran untuk bersaing di kelompok teratas berikutan prestasi jentera yang kurang memuaskan.
Walau bagaimanapun, dia tetap mencuri perhatian pasukan lain menerusi prestasi konsistennya ketika sesi kelayakan serta kebolehannya bersaing dengan pelumba lebih berpengalaman.
4. Hampir Raih Kemenangan Pertama Ketika Menggantikan Lewis Hamilton

Antara detik paling diingati dalam karier Russell pastinya ketika Grand Prix Sakhir 2020 apabila dia diberi peluang menggantikan Lewis Hamilton yang tidak dapat berlumba selepas dijangkiti COVID-19.
Walaupun hanya mendapat peluang sementara bersama Mercedes, Russell berjaya mempamerkan aksi cemerlang sehingga berada di hadapan dalam perlumbaan.
Walau bagaimanapun, peluang Russell untuk meraih kemenangan sulung pada ketika itu terencat apabila dia berdepan masalah ketika ‘pit stop’ selepas tayarnya pancit di penghujung perlumbaan.
5. Menyertai Mercedes Pada 2022

Selepas membuktikan kemampuannya bersama Williams, Russell akhirnya dinaikkan ke kerusi utama Mercedes pada musim 2022 untuk bergandingan dengan Hamilton.
Peluang itu menjadi titik penting dalam kariernya dan Russell kemudiannya meraih kemenangan sulung F1 pada Grand Prix São Paulo 2022 di Brazil, sekali gus melengkapkan satu lagi pencapaian besar dalam kariernya.
6. Nombor 63 Sinonim Dengan Russell

Nombor 63 yang sinonim dengan Russell sebenarnya mempunyai kisahnya yang tersendiri.
Menurut Mercedes, Russell memilih nombor tersebut kerana ia merupakan nombor yang pernah digunakan oleh abangnya ketika berlumba karting.
Menariknya, nombor itu terus menjadi identiti Russell apabila dia melangkah ke pentas F1.
7. Russell Juga Dikenali Dengan Gelaran ‘Mr Saturday’
Russell pernah mendapat gelaran ‘Mr Saturday’ kerana prestasinya ketika sesi kelayakan, khususnya sewaktu bersama Williams.
Ketika jentera Williams bergelut untuk bersaing dalam perlumbaan, Russell sering menunjukkan kebolehannya mencatat keputusan kelayakan yang mengatasi jangkaan.
Malah, pada musim sulungnya pada 2019, dia berjaya mengatasi rakan sepasukan ketika sesi kelayakan bagi kesemua 21 perlumbaan yang disertainya.
Sumber: Portal Rasmi Formula 1