Sekilas
- Datin Lyanaz Hassan mendakwa seorang pempengaruh berhutang RM1.4 juta yang dipinjam sebagai modal perniagaan bersama rakannya.
- Beliau menegur pempengaruh itu supaya tidak menggunakan wang pinjaman untuk gaya hidup mewah dan meminta bayaran balik segera.
- Lyanaz memberi tempoh sehingga jam 10 malam untuk bayaran balik sebelum mendedahkan identiti pempengaruh tersebut.
Usahawan, Datin Lyanaz Hassan mendakwa seorang pempengaruh mempunyai hutang berjumlah RM1.4 juta terhadapnya bersama seorang kawan.
Menerusi satu hantaran di Threads, Lyanaz mendakwa sejumlah wang tersebut diberikan sebagai pinjaman untuk dijadikan modal perniagaan.
Lyanaz turut menegur individu berkenaan supaya tidak menggunakan wang orang lain untuk meneruskan gaya hidup mewah.
“Influencer hutang RM1.4 juta, tolong bayar. Jangan rolling duit orang untuk lifestyle yang mewah.
“Kuat dekat TikTok, duk himpit sana sini. Tak ada perasaan bersalah?” tulisnya.
Dalam satu hantaran lain, Lyanaz juga meminta agar pempengaruh itu memulangkan semula wang berkenaan yang diberikan untuk tujuan perniagaan.
“Influencer chubby, tolong pulangkan balik duit saya dan sahabat saya RM1.4 juta yang diberikan pinjam sebagai modal perniagaan.
“Saya tunggu sehingga jam 10 malam. Kalau tidak, saya akan reveal muka kamu!” katanya.
Bagaimanapun, Lyanaz tidak mendedahkan identiti influencer yang dimaksudkan menerusi hantaran berkenaan.