Sekilas
- Elly Arifin berkongsi pengalaman hampir diculik ketika berusia lima tahun semasa keluarganya sedang membeli-belah di Aeon Mall Wangsa Maju.
- Seorang lelaki cuba membawa Elly dengan berpura-pura sebagai arahan ayahnya, tetapi seorang pakcik prihatin segera bertindak dan memanggil keselamatan.
- Elly menasihati orang ramai supaya tidak cepat menyalahkan ibu bapa dan menggalakkan masyarakat untuk lebih prihatin dan berani bertindak dalam situasi mencurigakan.
Pelakon, pengacara dan penyampai radio, Elly Arifin berkongsi pengalaman hampir menjadi mangsa culik ketika berusia sekitar lima tahun.
Menerusi hantaran di Threads, Elly berkata kenangan itu kembali bermain di fikirannya selepas menonton sebuah siri Korea di Netflix yang memaparkan elemen penculikan kanak-kanak.
“Lepas tengok series Korea kat Netflix ni tiba-tiba aku teringat sesuatu. Masa aku umur dlm 5 atau 6 tahun kowt camtu, aku HAMPIR KENA CULIK.
“Family aku tengah shopping kat Alpha Angle (Aeon Mall) Wangsa Maju. Time tu ramai orang. Mak aku always pimpin tangan aku. Bila dia nak tengok barang, dia lepaskan SEKEJAP tangan aku.
"Tiba-tiba dalam masa SEKEJAP tu aku rasa tangan aku macam kena tarik dengan seorang lelaki ‘C’. Aku ingat arwah ayah aku tapi muka dan feature lain. Lelaki ni lagi tinggi dari ayah aku," kongsi Elly.
Elly berkata lelaki tersebut memegang tangannya tetapi tidak terlalu kuat dan membawanya berjalan seperti biasa. Namun perasaan pelik mula timbul dalam dirinya.
"Aku diam sambil dia senyum. Dia cakap kononnya, ayah aku suruh dia jaga aku kejap sementara diorg tengah shopping. Aku cuba tarik tangan tapi dia pegang tangan aku kuat juga. Dia bawa aku jalan-jalan macam biasa. Aku rasa pelik sangat.
"Tiba-tiba ada seorang pak cik Melayu ni tegur, ‘Ni anak awak ke?’ Dia cakap YA! Pakcik tu tanya aku, ‘Ni ayah kamu ke?’ Aku gelengkan kepala. Pakcik tu panggil security," cerita Elly lagi.

Dalam kekecohan tersebut, ibu Elly yang menyedari kehilangan anaknya berlari dalam keadaan panik sebelum memeluknya.
"Dalam masa kekecohan tu, mak aku berlari nangis panik peluk aku. Dia makinya lelaki ‘C’ ni. Aku tak faham apa-apa time tu.
"Lepas tu aku tak tau apa yang jadi. Aku bersyukur pakcik tu selamatkan aku sebab dia prihatin," tambahnya.
Dalam masa sama, Elly menasihati orang ramai agar tidak mudah menuding jari kepada ibu bapa apabila berlaku kejadian seumpama itu kerana pelbagai perkara boleh terjadi dalam sekelip mata.
“Jangan sesekali salahkan ibu bapa atau keluarga sebab kita tak tahu apa kejadian sebenar yang berlaku. Tapi kalau kita jadi masyarakat prihatin sama-sama cakna dengan sekeliling dan berani bertindak, insya-Allah mungkin kita dapat selamatkan nyawa kanak-kanak yang sangat naif.
"Terima kasih kepada pak cik tu dan semua masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab walaupun bukan darah daging," tulis Elly lagi.
