Sekilas
- Pelakon Erysha Emyra mengakui ada hasrat untuk bergandingan dengan ibunya, Datin Seri Noniswara, dalam sebuah naskhah pada masa akan datang.
- Walaupun belum menerima tawaran rasmi, beberapa pihak produksi pernah menyuarakan minat untuk melihat mereka berdua berlakon bersama.
- Erysha kini membintangi drama Bayangan Dendam yang mempunyai 12 episod dan menampilkan beberapa pelakon lain seperti Nadhir Nasar dan Sophia Albarakbah.
Pelakon, Erysha Emyra mengakui dia ada menyimpan hasrat untuk bergandingan dengan ibunya yang juga aktres, Datin Seri Noniswara dalam sebuah naskhah pada masa akan datang.
Erysha atau nama lengkap Nur Erysha Emyra, berkata, meskipun belum menerima sebarang tawaran rasmi, namun ada beberapa pihak produksi yang pernah menyuarakan hasrat untuk menggandingkan mereka berdua.
"Tawaran yang betul-betul datang secara official untuk kami bergandingan itu tiada lagi, tetapi ada lah juga pihak produksi cakap-cakap mahu gandingan saya dengan mama.
"Cuma sehingga sekarang belum ada rezeki untuk kami berdua bersama dalam sebuah naskhah. Saya berharap juga satu hari nanti dapat berlakon dengan mama sendiri,” katanya kepada Gempak.
Erysha berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media drama terbaharunya, Bayangan Dendam yang berlangsung di Bukit Jalil, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Erysha mengakui teruja membayangkan peluang untuk berkongsi layar bersama ibunya memandangkan mereka belum pernah bergandingan dalam mana-mana karya sebelum ini.
"Sekiranya kami bergandingan, pasti seronok. Sebab tak pernah, teringin juga,” kata pelakon berusia 26 tahun itu.
Dalam perkembangan lain, Erysha kini membintangi drama Bayangan Dendam yang mengandungi 12 episod. Selain Erysha, naskhah tersebut turut menampilkan Nadhir Nasar, Sophia Albarakbah, Yusuf Bahrin, Mia Nasir dan ramai lagi.