Sekilas
- Pelawak Fad Bocey berkongsi video kenangan bersama sahabatnya, Along Eyzendy, yang meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
- Fad mengenang perbualan mereka yang lebih banyak tentang kehidupan dan menyifatkan hubungan mereka seperti sudah lama rapat.
- Jenazah Along akan disolatkan di hospital sebelum dibawa pulang ke Pasir Gudang, Johor untuk pengebumian.
Pelawak, Fad Bocey tidak dapat menahan sebak selepas mengetahui berita permergian sahabatnya, Along Eyzendy yang disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor kira-kira pukul 12.16 tengah malam, Ahad.
Fad menerusi hantaran terbaharu di akaun Instagram miliknya berkongsi video pendek sambil mengimbas kembali momen pertemuan bersama Along.
Menurut Fad, pertemuan mereka yang dirakam dalam video tersebut menjadi detik bermakna meskipun sebelum itu mereka hanya pernah berjumpa sekadar bertegur sapa.
“Kali pertama dapat borak dengan along masa dalam video ni, penah jumpa sebelum ni tapi hanya salam dan gerak.
“Alhamdulillah, asbab plan kami pergi kedai along ni, aku pelawa along naik kereta aku, lama kami borak sampai membawa ke rumah along.
“Sedar nak dua jam juga aku lepak dengan along, aku edit video ni sambil nangis sebab aku masih tengiang ngiang suara along,” coretnya sebak.
Fad turut berkongsi bahawa perbualan mereka lebih banyak menyentuh soal kehidupan berbanding dunia industri hiburan.
“Nasihat dan gurau dengan dia banyak tentang kehidupan, bukan dunia industri yang kami borak.
“Rasa macam dah rapat dengan along berpuluh tahun, rehat lah ya long, along orang hebat dan kuat. Salam takziah untuk keluarga allahyarham along. Al Fatihah…” tulisnya.
Untuk info, jenazah Allahyarham along difahamkan akan dimandikan di Unit Forensik hospital berkenaan sebelum disolatkan di sana dan seterusnya dibawa pulang ke Pasir Gudang, Johor untuk urusan pengebumian.
Sebelum ini, Along Eyzendy terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS), Serdang susulan tahap kesihatan yang semakin merosot akibat jangkitan kuman pada hempedu.
Menurut isterinya, Hamidah, pada awalnya dimasukkan ke hospital seminggu lalu selepas mengalami gejala demam dan batuk berpanjangan.