Sekilas
- Juri GV12, Datuk Syafinaz Selamat, berpendapat Aina Abdul lebih menonjol dalam persembahan duet bersama Nubhan di konsert akhir.
- Syafinaz menjelaskan lagu yang dipilih kurang sesuai dengan vokal Nubhan kerana julat nadanya terlalu rendah dan lebih dominan untuk vokal wanita.
- Iskandar Ismail dinobatkan juara GV12, diikuti Mendua di tempat kedua dan Nubhan di tempat ketiga, dengan juri terdiri daripada Syafinaz, Hetty Koes Endang, dan Datuk Ramli MS.
Juri Gegar Vaganza 12 (GV12), Datuk Syafinaz Selamat mengulas mengenai persembahan duet pemenang tempat ketiga iaitu Nubhan bersama artis undangannya, Aina Abdul di konsert akhir program berkenaan.
Menurut Syafinaz, eleman utama yang perlu ditonjolkan dalam setiap pertandingan adalah keupayaan bintang itu sendiri dalam membuat persembahan.
Namum untuk persembahan duet, Syafinaz merasakan Aina kelihatan lebih menonjol berbanding Nubhan.
“Dalam pertandingan, kita mahu peserta yang lebih menonjol, tetapi dalam persembahan Nubhan, yang kelihatan menonjol adalah Aina,” ulasnya.
Menjelaskan lebih lanjut, Syafinaz berkata perkara itu berlaku mungkin disebabkan pemilihan lagu yang disifatkan kurang sesuai dengan keupayaan vokal Nubhan.
“Mungkin pemilihan lagu itu sendiri, di mana lagu tersebut lebih dominan kepada vokal wanita dan julat nada lagu itu juga tidak sesuai dengan Nubhan kerana ia terlalu rendah untuknya dan susah untuk dia menonjol.
“Saya rasa jika pilihannya adalah lagu lain, mungkin dia boleh jadi lebih baik daripada itu sebab lagu solonya sangat bagus,” jelasnya.
Gegar Vaganza 12 menyaksikan Iskandar Ismail dinobatkan sebagai juara, tempat kedua menjadi milik Mendua, manakala Nubhan pula meraih tempat ketiga.
Sementara itu, Mark Adam dinobatkan sebagai pemenang tempat keempat, satu-satunya finalis wanita iaitu Mell Sakura pula ditempat kelima dan Ruri Repvblik ditempat keenam.
Kesemua bintang GV12 diadili oleh Datuk Syafinaz Selamat, Hetty Koes Endang dan Datuk Ramli MS selaku ketua juri.