Ringkasan AI
- Pengurus Astro Ria, Idlan Zahari, memaklumkan pihaknya masih memantau keadaan kesihatan Datuk Elaine Kang yang mengalami masalah kesihatan baru-baru ini.
- Keputusan sama ada Elaine akan meneruskan persembahan pada minggu ketiga Gegar Vaganza 12 masih belum dibuat dan bergantung kepada perkembangan kesihatannya.
- Setiap peserta GV12 telah menjalani pemeriksaan kesihatan awal sebelum menyertai pertandingan bagi memastikan mereka bersedia untuk pentas besar.
- Pihak produksi mengutamakan keselamatan dan kebajikan peserta serta menggalakkan mereka melaporkan sebarang masalah kesihatan atau risiko keselamatan sepanjang pertandingan.
- Elaine Kang sebelum ini memberi isyarat mungkin akan menarik diri daripada Gegar Vaganza kerana masalah kesihatan yang dihadapinya.
Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari menjelaskan bahawa pihaknya masih memantau perkembangan kesihatan bintang Gegar Vaganza 12 (GV12), Datuk Elaine Kang selepas penyanyi berpengalaman itu dilaporkan mengalami masalah kesihatan baru-baru ini.
Menurut Idlan, setakat ini masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan mengenai sama ada Elaine akan meneruskan persembahan pada minggu ketiga atau tidak.
“Setakat ini tiada. Dan situasi ini baru sahaja berlaku dan kami lihat bagaimana perkembangannya pada minggu depan.
“Saya rasa kita hanya boleh tahu semasa konsert ketiga nanti adakah Datuk Elaine Kang boleh membuat persembahan atau pun tidak. Dan semuanya tergantung kepada situasi kesihatannya,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Idlan turut menjelaskan bahawa setiap peserta GV12 telah menjalani semakan awal berkaitan tahap kesihatan mereka sebelum menyertai pertandingan bagi memastikan mereka bersedia untuk tampil di pentas besar.
Tambah Idlan, pihak produksi sentiasa mengutamakan kebajikan serta keselamatan peserta, malah mereka digalakkan untuk segera memaklumkan kepada pihak produksi sekiranya berdepan sebarang masalah kesihatan atau risiko keselamatan sepanjang pertandingan.
“Sebelum ini semua peserta dah kongsi mereka punya latar belakang, kita semak sama ada mereka boleh atau tidak untuk melakukan persembahan. Jadi semua mereka yang menyertai kata mereka boleh.
“Tapi kita punya keutamaan adalah keselamatan setiap peserta yang menyertai GV. Kami sangat galakkan jika mereka rasa ada masalah kesihatan atau keselamatan yang bakal berlaku untuk terus beri tahu kepada kami untuk lakukan sesuatu.
"Jika keadaan tak mengizinkan semua peserta ada kuasa untuk tarik diri jika mereka tidak rasa tidak boleh meneruskan perjuangan mereka di GV,” tambahnya.
Terdahulu, Elaine Kang memberi gambaran seolah-olah mahu menarik diri daripada pentas Gegar Vaganza selepas memberitahu mempunyai masalah kesihatan.