Ringkasan AI
- Perkahwinan dan perceraian selebriti di Malaysia kini sering menjadi tumpuan media sosial yang memperburuk keadaan.
- Pasangan Nubhan dan Dr Afifah mengalami perceraian kali kedua selepas 10 tahun bersama, dengan spekulasi orang ketiga dan isu wang tersebar di media sosial.
- Uqasha Senrose memfailkan perceraian terhadap Kamal Adli atas alasan tiada persefahaman, dan kes mereka mendapat perhatian ramai dengan penyokong kedua-dua pihak.
- Pasangan pempengaruh Cik Epal dan Jofliam terlibat dalam perceraian penuh kontroversi termasuk dakwaan curang dan pertikaian hak penjagaan anak yang dipertontonkan di media sosial.
- Drama perceraian selebriti ini turut menyebabkan mereka menjadi sasaran buli siber oleh pengikut masing-masing walaupun sudah bercerai lebih setahun.
Berkahwin dan kemudian bercerai bukanlah kehidupan yang diinginkan oleh pasangan suami isteri yang pernah tidur sekatil, makan bersuap serta mengharungi susah senang bersama.
Namun apabila takdir berkata lain, impian bersama ke jannah terpaksa berakhir dengan perceraian. Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, ada kes cerai yang sepatutnya menjadi rahsia ‘kain dalam’ habis diselak dan terselak pada era digital.
Berikut tiga kes perceraian di Malaysia yang membabitkan individu terkenal telah bertukar menjadi semakin buruk dengan campur tangan pengguna media sosial.
Nubhan & Dr Afifah
Tiada siapa menyangka dalam kebahagiaan dan kerukunan rumah tangga yang ditampilkan di media sosial antara penyanyi Nubhan dengan isteri, Dr Afifah, hubungan mereka juga berdepan masalah.
Malah selepas Dr Afifah mengumumkan diceraikan Nubhan dalam kereta, ibu tiga anak itu juga mendedahkan bukan pertama dilepaskan penyanyi itu.
Nubhan dan Dr Afifah telah pernah bercerai sebelum ini dan perceraian yang baru berlaku adalah kali kedua buat mereka.
Hal yang membuatkan kes rumah tangga pasangan ini menjadi buruk apabila spekulasi bertebaran di media sosial tentang punca perceraian mereka ; antaranya didakwa kerana orang ketiga daripada pihak Nubhan dan ibu Dr Afifah dikatakan meminta RM5 juta daripada penyanyi itu.
Setelah sempat berlaku beberapa siri kekecohan, Nubhan ‘menutup mulut’ khalayak dengan mengaku semua kesalahan yang terjadi sehingga rumah tangga yang berusia 10 tahun terpaksa berakhir.
Uqasha Senrose & Kamal Adli
Kisah rumah tangga Uqasha Senrose dengan Kamal Adli menjadi kecoh selepas pelakon wanita itu mendedahkan sedang bergelut dengan masalah meski baru empat tahun berkahwin.
Uqasha memfailkan perceraian terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu dengan alasan tiada lagi persefahaman. Namun kisah rumah tangga mereka menerima banyak campur tangan dalam kalangan pengguna media sosial apabila ‘terbelah’ kepada dua - penyokong Uqasha dan penyokong Kamal.
Kini kes perceraian mereka masih berjalan. Sewaktu peguam bela Uqasha menarik diri, Kamal berusaha menyelamatkan rumah tangga mereka.
Cik Epal & Jofliam
Kes perceraian pasangan pempengaruh Cik Epal dan Jofliam adalah ‘hidangan’ paling buruk yang dapat dilihat oleh semua pengguna media sosial.
Bukan hanya bercerai kerana dakwaan curang, bergaduh di media sosial malah kes tuntutan hak penjagaan anak-anak atau hadanah pasangan ini juga mencuri perhatian apabila Cik Epal dan Jofliam ‘tidak segan’ mempamerkan drama mereka kepada umum.
Malah selepas lebih setahun bercerai, pasangan ini terus menjadi mangsa buli siber dalam kalangan pengikut masing-masing.