Sekilas
- Gegar Vaganza Fantasia (GV13) akan bermula pada 8 November dengan menampilkan juara Akademi Fantasia setiap musim bertanding selama 11 minggu di Astro Ria.
- Faizal Ramly antara peserta yang membuat persiapan rapi termasuk menurunkan berat badan untuk kekalkan stamina vokal dan memanfaatkan platform ini untuk perniagaannya.
- Program ini dikendalikan oleh trio hos Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad, dengan juri tetap Dato’ Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat serta juri jemputan khas bekas tenaga pengajar AF.
Gegar Vaganza Fantasia atau Gegar Vaganza 13 bakal menyaksikan pertarungan juara Akademi Fantasia setiap musim yang akan bermula pada 8 November ini.
Salah seorang bintang GV Fantasia iaitu Faizal Ramly sudah membuat persiapan antaranya menurunkan berat badan demi stamina vokal yang mantap.
“Persediaan saya sekarang ini perlu kecilkan sikit tubuh badan saya. Mungkin selama menetap di Terengganu, makan makin berselera.
“Tak sangka pula dapat tawaran masuk GV, kalau saya tahu, saya tak makan bermula empat bulan lepas.
“Sekarang saya nak kecilkan tubuh badan supaya nampak kurus dan lebih bertenaga ketika bernyanyi,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, pelantun lagu Datanglah itu melihat penyertaannya dalam edisi kali ini bukan sahaja membuka ruang untuk kembali aktif, malah menjadi platform strategik untuk memperkasakan perniagaannya.
“Bila dapat tawaran GV, saya dah nampak macam-macam perancangan sebab kita teruja. Mungkin selepas ini kalau jual produk lebih mudah.
“Saya buat siaran langsung pun penonton akan bertambah. Sebelum ini ada saya buat siaran langsung, tiada penonton,” katanya.
Faizal akan bersama lapan juara Akademi Fantasia lain iaitu Zahid, Mawi, Mila, Firman, Vince, Faizul Sany, Stacy, dan Shahir bakal berentap di pentas GV13 atau GV Fantasia.
Menambahkan lagi keterujaan musim ini, GV13 akan terus digerakkan oleh trio hos kegemaran ramai iaitu Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.
Barisan juri pula masih mengekalkan tiga nama besar yang cukup dihormati dalam industri muzik, iaitu Dato’ Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat, yang akan memberikan penilaian secara profesional, telus dan berintegriti terhadap setiap persembahan.
Lebih menarik, musim ini turut menampilkan juri jemputan khas dalam kalangan bekas tenaga pengajar Akademi Fantasia yang akan berkongsi pandangan dan pengalaman mereka sepanjang pertandingan berlangsung.
PROGRAM GEGAR VAGANZA FANTASIA
Berlangsung selama 11 minggu, ‘GV13’ akan bersiaran setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam. Program ini turut boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan Sooka.
KAPSUL GEGAR VAGANZA FANTASIA
Menampilkan persiapan, momen di balik tabir, sesi temu bual serta permainan bersama para peserta setiap minggu sebelum program utama bermula.
VAZZ VAGANZA FANTASIA
Dihoskan selama 30 minit sejurus selepas program utama untuk menampilkan wawancara dan soal jawab bersama peserta dan juri ‘GV13’.