Skip to main content

Viral

Hadie Suhaimi Bakal Berlakon Pula, Ina Naim Letak Syarat - "Tiada Sentuh-Sentuh Atau Adegan Undang Fitnah"

hadie_berlakon

Bintang Talk To My Manager (TTMM), Hadie Suhaimi bakal melebarkan sayap dalam bidang lakonan pula selepas dilamar oleh produser terkenal Jaja Ishak untuk membintangi naskhah terbaharunya, filem pendek berjudul Antara Dua Darjat.

Hadie, 17, yang juga anak kepada penyanyi nasyid terkenal Allahyarham Suhaimi Saad (bekas anggota kumpulan Inteam), bagaimanapun meletakkan ibunya, Ina Naim selaku pengurus peribadinya untuk menilai baik buruk keputusannya.

“Saya dan ibu berbincang panjang sebelum saya ceburi bidang ini. Bila ditimbang-timbang, lebih banyak kebaikan yang boleh diperoleh, jadi saya cuba.

“Walaupun hanya berjaya ke peringkat akhir program realiti itu, saya bersyukur kerana ia membuka peluang untuk saya terus ke hadapan mencari rezeki,” katanya kepada Gempak.

Advertisement

Akui Hadie, meskipun minatnya lebih kepada bidang lakonan pada mulanya, dia percaya dan sedar bakatnya lebih menyerlah dalam nyanyian.

“Saya memang suka berlakon, kadang-kadang di rumah pun saya berlakon dengan ibu. Tapi saya tahu nyanyian itu kekuatan saya. Jadi bila ada peluang berlakon, saya terima untuk mencuba,” tambahnya.

Sementara itu, Ina yang juga bekas penyanyi dan pelakon, memaklumkan selepas program realiti berkenaan tamat, rezeki anaknya terus terbuka luas apabila menerima pelbagai tawaran, termasuk daripada produksi Jaja Ishak Channel.

“Syukur, selepas program itu tamat, ada beberapa rezeki yang datang. Saya sebagai pengurus sedang menyusun jadual Hadi. Tawaran daripada Jaja Ishak Channel datang pada waktu yang tepat dan dalam filem pendek itu Hadi akan digandingkan dengan Qadejah El Zahra atau Cess, anak kepada Datuk Seri Aliff Syukri.

"Ramai di TikTok yang minta Hadi berlakon, jadi kami fokus dulu ke arah itu. Tapi saya tak terima semua tawaran secara terburu-buru. Saya nilai dulu setiap skrip dan produksi, supaya tiada babak bersentuhan atau adegan serta perkara yang boleh menimbulkan fitnah. Saya akan pastikan setiap projek sesuai dengan usia dan imej Hadi," ujarnya.

Bagi Ina, Jaja Ishak bukan sekadar penerbit yang mempercayai bakat Hadi, tetapi juga sahabat lama arwah suaminya yang memahami cara dan prinsip keluarga mereka.

“Saya kenal Jaja sudah lama kerana Jaja sahabat arwah Suhaimi di bangku sekolah, mereka memang rapat. Jadi bila dia tawarkan projek ini, saya rasa tenang sebab dia tahu batas kami dan cara kami bekerja.

"Arwah dulu pun sangat menghormati Jaja sebagai sahabat yang sentiasa menyokong, jadi bila Hadi dapat peluang ini, rasa macam meneruskan legasi yang arwah tinggalkan,” kata Ina yang memilih untuk memberi tumpuan kepada lakonan sebelum melancarkan single pertama Hadie.

Sementara itu, penerbit Jaja Ishak berkata idea untuk menampilkan Hadi datang selepas melihat sambutan positif terhadapnya di media sosial.

“Kami lihat ramai yang suka dengan personaliti Hadi dan peserta lain dari program itu. Jadi saya ambil peluang untuk bekerjasama dengan dia dan Ina. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

“Filem ini mengisahkan percintaan antara dua individu daripada latar belakang berbeza yang menghadapi tentangan keluarga. Ia sebuah kisah ringan tetapi menyentuh hati,” tambahnya.

Jaja turut memaklumkan bahawa filem pendek berjudul Antara Dua Darjat itu bakal ditayangkan di platform media sosial sebelum penghujung November ini.

Must-Watch Video

Advertisement