Sekilas
- Lagu 'Kita Warga Malaysia' menggabungkan muzik, filem, pendidikan dan seni untuk menyampaikan mesej perpaduan serta lima prinsip Rukun Negara.
- Projek ini melibatkan pelbagai komuniti dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, serta mendapat sokongan profesional industri filem dan penggiat seni tempatan.
- Pelancaran lagu ini diserikan dengan kehadiran legenda badminton negara dan acara interaktif, dengan rancangan tayangan di YouTube serta penglibatan sekolah seluruh negara untuk versi akan datang.
Semangat patriotisme diterjemahkan menerusi pendekatan berbeza apabila lagu ‘Kita Warga Malaysia’ tampil menggabungkan elemen muzik, filem, pendidikan dan seni dalam sebuah karya yang membawa mesej perpaduan.
Dicipta oleh Dr. Lee Tuck Wah dengan kerjasama LOMO Pictures, karya berkenaan mengambil masa hampir dua tahun melalui proses penciptaan, penggambaran dan penerbitan sebelum dilancarkan secara rasmi di TGV Cinema, Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengangkat gagasan ‘Satu Hati, Satu Suara - Membawa Malaysia di Mata Dunia’, ‘Kita Warga Malaysia’ membawa mesej mengenai kebersamaan rakyat tanpa mengira kaum, generasi mahupun latar belakang.
Menariknya, lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan turut menjadi asas kepada karya berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib berkata, muzik dan kandungan kreatif mempunyai kekuatan tersendiri dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.
“Muzik dan kandungan kreatif mempunyai kekuatan yang cukup besar. Ia bukan sekadar menjadi medium hiburan, malah mampu merentas batas bahasa dan budaya, mendekatkan masyarakat serta menyemai rasa cinta kepada negara.
“Atas semangat inilah, FINAS sentiasa menggalakkan penghasilan karya kreatif tempatan yang membawa nilai positif, memperkukuh jati diri serta menyumbang kepada keharmonian masyarakat,” katanya.
Menurut Azmir, penglibatan masyarakat daripada pelbagai kaum, generasi dan latar belakang termasuk komuniti dari Sabah dan Sarawak turut mencerminkan kepelbagaian sebenar Malaysia.
“Penglibatan masyarakat daripada pelbagai kaum, generasi dan latar belakang, termasuk penyertaan komuniti dari Sabah dan Sarawak, memperlihatkan wajah Malaysia yang sebenar — sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian, tetapi tetap disatukan oleh identiti dan aspirasi bersama,” katanya.
Dalam pada itu, penghasilan visual ‘Kita Warga Malaysia’ turut mendapat sentuhan profesional industri filem menerusi LOMO Pictures dengan Aron Koh menjadi antara penggerak utama projek.
Penglibatan pengarah filem Ryon Lee Eng Keong turut memberi sokongan kepada usaha menjadikan muzik dan filem sebagai medium menyampaikan nilai positif serta menghubungkan masyarakat.
Lebih menarik, ‘Kita Warga Malaysia’ bukan hanya menghimpunkan penyanyi dan penggiat seni, malah turut melibatkan pemuzik, penari, guru, pelajar, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), komuniti dan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang.
Penyertaan dari Sarawak dan Borneo pula dibawa menerusi Persatuan Kesenian Etnik Sarawak yang diketuai Rosalind Kamis.
Majlis pelancaran turut diserikan dengan kehadiran dua legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Cheah Soon Kit.
Kehadiran dua bekas wira Piala Thomas itu membawa simbolik tersendiri apabila kedua-duanya pernah mengharumkan nama Malaysia di gelanggang antarabangsa, sementara semangat sama kini diterjemahkan menerusi muzik, filem, pendidikan dan kehidupan seharian.
Turut diadakan pada petang berkenaan ialah Penyampaian Anugerah Warga Malaysia 2026 yang merangkumi 10 kategori.
Anugerah tersebut meliputi tokoh, wira, artis, pemuzik, pendidik dan personaliti yang telah menunjukkan kecemerlangan serta memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat dan negara.

Selain itu, antara kelainan sewaktu pelancaran ialah penggunaan AI Robot sebagai elemen interaktif sebelum tetamu bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan melaungkan ‘Saya Anak Malaysia!’ serta ‘Kita Warga Malaysia!’ sebanyak tiga kali.
Para tetamu kemudian membuka payung ‘Kita Warga Malaysia’ secara serentak sebagai simbol rakyat yang mungkin berdepan cabaran berbeza, namun tetap memilih untuk berada di bawah satu ‘payung’ yang sama iaitu Malaysia.

Apa yang lebih istimewa, rakaman tetamu, artis, media, guru, pelajar serta penyokong ketika majlis pelancaran turut dimasukkan ke dalam kandungan khas ‘Kita Warga Malaysia’.
Kandungan tersebut dijadualkan ditayangkan menerusi saluran YouTube ‘Kita Warga Malaysia’ pada 30 Ogos 2026, jam 8.31 malam bersempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Tidak terhenti di situ, penganjur turut merancang membuka penyertaan kepada sekolah di seluruh negara untuk menghasilkan Video Kreatif ‘Kita Warga Malaysia’ dengan mengetengahkan budaya, kreativiti serta cara tersendiri dalam menzahirkan kecintaan terhadap negara.
Perancangan turut dibuat untuk menghasilkan ‘Kita Warga Malaysia - Version 2’ dengan penglibatan lebih ramai artis, pemuzik, penggiat industri kreatif, media, sekolah, guru, pelajar dan rakyat Malaysia pada masa akan datang.