Skip to main content

Rancangan Realiti

Hannah Yeoh Harap ‘Jaguh Rakan Muda’ Jadi Titik Permulaan Bakat Baharu Belia Malaysia - "Saya Nak Mereka Belajar Bangkit Semula..."

jhihiu

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap program realiti baharu Jaguh Rakan Muda mampu menjadi platform penting untuk melahirkan lebih ramai belia berbakat dan memberi inspirasi kepada generasi muda di negara ini.

Menurut Hannah, rancangan tersebut bukan sekadar pertandingan, sebaliknya medan untuk anak muda menonjolkan potensi diri serta mengisi masa lapang dengan aktiviti bermanfaat.

Advertisement

“Harapan saya untuk semua peserta adalah agar mereka mempunyai peluang menonjolkan bakat masing-masing. Program ini meraikan belia yang sebelum ini tidak berpeluang langsung untuk muncul di televisyen.

“Melalui program realiti seperti ini, semua yang berumur 30 tahun ke bawah ada peluang untuk menjalani uji bakat dan menjadi seorang jaguh,” katanya ketika ditemui Gempak.

Hannah berkata, platform itu juga dapat membuka laluan baharu kepada peserta untuk mengembangkan kerjaya masing-masing dalam pelbagai bidang.

“Mungkin selepas ini ada yang jadi selebriti, pelakon atau jurulatih kecergasan. Kita tidak tahu, tetapi sekurang-kurangnya platform ini wujud untuk mereka,” ujarnya.

Tambahnya lagi, semangat kesukanan dan ketahanan diri yang diterapkan dalam program tersebut diharap dapat memupuk nilai positif dalam diri belia.

“Dalam sukan, ada 50 peratus kemungkinan untuk kalah. Saya nak mereka belajar untuk bangkit semula dan tidak berputus asa.

“Melalui cabaran fizikal dan mental dalam pertandingan ini, mereka akan belajar mengatasi kelemahan diri serta membina keyakinan,” katanya.

Jaguh Rakan Muda merupakan program realiti terbaharu terbitan Astro yang meraikan kekuatan, keberanian dan perpaduan belia Malaysia melalui siri cabaran fizikal dan mental.

Jaguh Rakan Muda akan menampilkan Mat Redho, personaliti televisyen serta atlet kebangsaan, sebagai pengacara. Bersama beliau sebagai pengulas ialah Goh Liu Ying, pemenang pingat perak sukan Olimpik dan ikon badminton negara, serta Ain Edruce. Sepanjang siri ini, beberapa pengulas jemputan akan turut ditampilkan, termasuk Intan Serah, Bang Med, Que Haidar, dan Denes Kumar. Masing-masing akan membawakan pandangan unik mereka terhadap perjalanan pertandingan.

Antara peserta yang terpilih termasuk pelajar, jurulatih kecergasan, pencipta kandungan digital, peserta ratu cantik, atlet kelainan upaya serta golongan profesional muda berusia antara 13 hingga 30 tahun. Mereka dipilih menerusi sesi uji bakat di seluruh negara merangkumi zon Utara, Tengah, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

Program ini akan mula bersiaran pada 10 November 2025, setiap Isnin, jam 9 malam di Astro Ria (CH 104), 9.30 malam di Astro AEC (CH 306) dan 11.30 malam di Astro Vinmeen (CH 202). Ia juga boleh distrim melalui Astro GO dan sooka.

Untuk melanggan atau menaik taraf ke Astro One, layari www.astro.com.my atau WhatsApp ‘Hi’ ke 03 9543 3838.

Must-Watch Video

Advertisement