Sekilas
- Wani Kayrie dipilih mewakili Malaysia di ABU Song Festival ke-15 di Colombo, Sri Lanka dengan lagu 'Cak Cak Cekuk' versi AJL40 yang menampilkan gabungan elemen tradisional dan moden.
- Persembahan Wani mengekalkan konsep asal lagu dengan penyesuaian koreografi dan kostum yang mencerminkan budaya Malaysia untuk pentas antarabangsa.
- Pemilihan ini dianggap sebagai satu penghormatan dan peluang penting untuk memperkenalkan muzik serta budaya Malaysia ke peringkat serantau dan antarabangsa.
Daripada mencuri perhatian di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) kepada membawa identiti muzik Malaysia ke persada antarabangsa, penyanyi berbakat besar, Wani Kayrie, melakar satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seninya apabila terpilih mewakili negara pada ABU Song Festival ke-15 di Colombo, Sri Lanka pada Selasa.
Lebih membanggakan, Wani satu-satunya artis yang dipilih oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk membawa nama Malaysia ke festival berkenaan, sekali gus membuka peluang untuk memperkenalkan keunikan seni dan budaya tempatan kepada khalayak antarabangsa.
Bagi Rocketfuel Entertainment, pemilihan ini merupakan satu pengiktirafan bermakna terhadap perkembangan kerjaya Wani, selain mencerminkan potensi bakat tempatan untuk diketengahkan menerusi pentas muzik serantau.
Pemilihan Wani hadir selepas kejayaannya membawa lagu ‘Cak Cak Cekuk’ ke pentas akhir AJL40, sekali gus merealisasikan impiannya untuk beraksi di pentas berprestij tersebut.
Kini, karya yang menampilkan gabungan elemen tradisional dan moden itu bakal diperkenalkan kepada penonton antarabangsa menerusi versi persembahan AJL40.
Pemilihan artis untuk mewakili negara di festival seumpama ini mengambil kira pencapaian serta kejayaan yang diraih dalam tempoh tertentu.
Justeru, peluang yang diberikan kepada Wani menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seninya, di samping membuka ruang untuk memperluas pengenalan muzik Malaysia di luar negara.
ABU Song Festival menghimpunkan artis dari rantau Asia Pasifik bagi meraikan kepelbagaian budaya dan muzik menerusi persembahan yang mencerminkan identiti setiap negara.
Dalam konteks ini, penyertaan Wani membawa makna tersendiri apabila beliau bukan sahaja tampil sebagai penyanyi, malah turut menggalas tanggungjawab memperkenalkan keunikan budaya Malaysia.
Mengulas pemilihannya, Wani menyifatkan peluang tersebut sebagai satu penghormatan besar, apatah lagi apabila beliau diberikan kepercayaan untuk membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.
“Saya berasa sangat bangga kerana dipilih mewakili Malaysia tahun ini. Saya tahu pemilihan seperti ini mengambil kira pencapaian tertentu seseorang artis, jadi saya menganggapnya sebagai satu peluang dan penghargaan yang sangat istimewa daripada RTM.
“Saya berharap peluang ini dapat membantu saya mengetengahkan bakat yang ada, di samping membawa keunikan budaya kita ke peringkat antarabangsa. Saya mahu penonton di sana melihat keistimewaan muzik dan budaya Malaysia menerusi persembahan yang akan saya bawakan,” katanya.
Bagi menyerlahkan identiti tempatan, konsep persembahan Wani mengekalkan karakter ‘Cak Cak Cekuk’ seperti yang dipersembahkan di AJL40, dengan penekanan terhadap warna dan rekaan kostum yang mencerminkan budaya Malaysia.
Wani telah berangkat ke Colombo pada 30 Oktober dan berada di Sri Lanka sehingga 3 November.
Persiapannya kali ini lebih tertumpu pada penyesuaian beberapa elemen persembahan, termasuk koreografi penari serta pemilihan pakaian, tanpa mengubah konsep asal lagu berkenaan.
“Persiapan kali ini boleh dikatakan sederhana kerana kami masih mengekalkan konsep ‘Cak Cak Cekuk’ seperti di AJL40. Cuma, terdapat perubahan dari segi gerak tari persembahan, kostum penari dan pakaian saya.
“Bagi saya, penting untuk mengekalkan identiti lagu ini sambil memberikan sentuhan yang bersesuaian dengan pentas antarabangsa. Saya berharap gabungan muzik, penampilan dan warna yang diketengahkan dapat menyerlahkan budaya Malaysia dengan cara yang menarik,” jelasnya.
Ketua Rocketfuel Entertainment, En. Mathan Rajasingam, turut melahirkan rasa bangga atas pemilihan Wani, sambil menyifatkannya sebagai peluang penting untuk memperluas pengiktirafan terhadap bakat dan karya anak seni tempatan.
“Kami amat berbangga apabila Wani diberikan kepercayaan untuk mewakili Malaysia di ABU Song Festival ke-15. Peluang ini bukan sahaja menjadi satu pencapaian bermakna buat dirinya, malah membuka ruang untuk memperkenalkan keunikan muzik dan budaya Malaysia kepada khalayak antarabangsa.
“Kami berharap Wani dapat memanfaatkan pengalaman ini sebaik-baiknya dan tampil dengan persembahan yang membanggakan. Sebagai sebuah label hiburan yang komited dalam membangunkan bakat tempatan, Rocketfuel Entertainment akan terus menyokong usaha artis di bawah naungannya untuk berkembang dan meneroka peluang yang lebih luas,” katanya.
Dengan ‘Cak Cak Cekuk’ sebagai taruhan, Wani kini bersedia membawa irama dan warna budaya Malaysia ke Colombo, sekali gus menjadikan penyertaan sulungnya di ABU Song Festival sebagai satu lagi langkah penting dalam perjalanan seninya.
Dalam perkembangan lain, ‘Cak Cak Cekuk Versi AJL’ kini boleh distrim di semua platform digital bermula 16 Oktober lalu.