Sekilas
- Missphris Painol, kakak kepada penyanyi Melinda Dadew, bertegas akan mengambil tindakan terhadap individu yang membuat tuduhan palsu sehingga mencemarkan maruah adiknya.
- Missphris telah menyimpan tangkap layar hantaran tersebut sebagai bukti dan akan melaporkannya kepada pihak berkuasa seperti PDRM dan MCMC untuk siasatan lanjut.
- Tuduhan palsu itu berkaitan dakwaan hubungan istimewa antara Melinda dan Aliff Aziz berdasarkan aksi mesra dalam latihan pementasan teater Mansur dan Liu.
Kakak kepada penyanyi Melinda Dadew, Missphris Painol memaklumkan dirinya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap seorang individu yang didakwa membuat tuduhan palsu sehingga menjejaskan maruah adiknya.
Menerusi Threads, Missphris memaklumkan dia sudah menyimpan tangkap layar hantaran individu terbabit sebagai bukti sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Kata Missphris, individu berkenaan sepatutnya berfikir dahulu sebelum membuat kenyataan palsu dengan berselindung di sebalik akaun palsu.
“Melabel, menghina atau membuat kenyataan palsu serta menjatuhkan maruah seseorang bukanlah perkara yang boleh dilakukan sesuka hati di media sosial tanpa sebarang akibat.
“Hantaran tersebut telah didokumentasikan, dan perkara ini akan saya laporkan kepada pihak PDRM dan MCMC untuk tindakan serta siasatan lanjut.
“Saya telah mengambil tangkap layar hantaran tersebut dan menyimpan segala bukti yang berkaitan.
“Awak mungkin perlu berfikir semula sebelum terus bersembunyi di sebalik akaun palsu,” kongsinya.
Tambah Missphris, bukti tersebut akan tetap disimpan meskipun individu terbabit bertindak memadamnya kelak.
“Jadi, nikmatilah perhatian yang awak dapat sementara masih ada. Perlu diingat, tangkap layar tidak akan hilang hanya kerana hantaran tersebut dipadam,” tambahnya lagi.
Terdahulu, seorang individu memuat naik tangkap layar Instastory yang dimuat naik pelakon dan penyanyi Singapura, Aliff Aziz yang memaparkan dirinya sedang menjalani latihan bersama Melinda untuk pementasan teater Mansur dan Liu.
Individu terbabit kemudian mendakwa kedua-duanya sudah menjalinkan hubungan istimewa susulan aksi mesra yang dipaparkan dalam hantaran tersebut.
Sumber: Threads