Sekilas
- Azmirul Hafiz dan isterinya, Liza, telah menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka dan membatalkan proses perceraian yang dirancang.
- Liza membuat keputusan berdamai selepas melakukan solat istikharah dan melihat kesungguhan Azmirul yang berjanji tidak akan mengulangi kesilapan.
- Mereka berkahwin pada 2021 dan dikurniakan dua anak lelaki, dengan isu curang Azmirul yang tular sebelum ini dijelaskan sebagai ujian perasaan isteri.
Kemelut rumah tangga penyanyi Azmirul Hafiz dan isterinya, yang dikenali sebagai Liza, akhirnya berjaya diselesaikan dengan baik dan menemui jalan damai.
Memetik laporan Mstar, menurut Liza, dia membuat keputusan untuk kembali kepada suami dan tidak meneruskan proses perceraian yang telah dirancang.
"Ya, kami tidak jadi bercerai. Saya tidak meneruskan proses pemfailan cerai tempoh hari.
"Saya harap semua dapat doakan yang baik-baik untuk kami," katanya.
Ditanya punca dia memaafkan suami dan memilih jalan damai, Liza berkata dia mendapat petunjuk itu selepas melakukan solat istikharah.
Malah, Azmirul juga ikhlas berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan.
"Entahlah saya pun tak tahu nak cakap macam mana, mungkin sebab saya buat solat istikharah... Tuhan dah beri petunjuk.
"Saya harap sangat selepas ini dia (suami) tidak akan buat lagi (curang). Mungkin ini peluang terakhir yang saya berikan.
"Dia kata takkan sia-siakan peluang yang ada ini. Saya tengok dia ikhlas sebab sampai menangis, jadi saya pandang muka anak dan disebabkan itu saya buat keputusan ini," ujarnya.
Pada 24 Mac lalu, Liza hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Rembau, Negeri Sembilan bagi memfailkan penceraian terhadap suami.
Proses perceraian itu bagaimanapun tidak dapat diteruskan kerana masih dalam tempoh cuti perayaan.
Untuk rekod, Liza mendirikan rumah tangga dengan Azmirul pada 2021.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki.
Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan isteri Azmirul mengamuk selepas mendapati suaminya itu berlaku curang bersama wanita lain.
Menerusi video yang dimuat naik, isteri penyanyi itu dipercayai merakam kejadian tersebut ketika berada di sebuah tapak jualan uptown.
Dalam rakaman berkenaan, Azmirul dilihat sedang memilih kasut, manakala wanita yang bersamanya hanya duduk menunggu.
Bagaimanapun, Azmirul memaklumkan kepada mStar bahawa tindakan tersebut sebenarnya dirancang bagi menguji perasaan isterinya sahaja.
Sumber: Mstar