Sekilas
- Izzue Islam menerima hadiah kereta Nissan GTR sempena ulang tahun kelahirannya dan menganggap isteri, Awin Nurin, sebagai hadiah paling bermakna dalam hidupnya.
- Beliau menghargai kesetiaan dan sokongan Awin selama 13 tahun perkahwinan mereka yang tidak ternilai dengan wang ringgit.
- Izzue juga berkongsi bahawa walaupun mereka belum dikurniakan cahaya mata, kehadiran Awin menjadi sumber kekuatan dalam hidupnya.
Pelakon dan penyanyi, Izzue Islam meluahkan rasa syukur selepas menerima hadiah berupa kereta Nissan GTR bersempena ulang tahun kelahirannya, baru-baru ini.
Menerusi Instagram (IG), Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan walau bagaimanapun berpendapat bahawa hadiah paling bermakna dan berharga adalah isterinya iaitu Awin Nurin.
“Ramai tanya macam mana rasanya dapat GTR masa birthday? Jujurnya, aku lebih terharu bila teringat siapa yang hadiahkan.
“Orang nampak aku dapat GTR. Tapi apa yang orang tak nampak, aku sebenarnya dah dapat hadiah paling besar sejak 13 tahun lalu. Nama dia, Awin Nurin,” kongsinya.
Dalam masa sama, bekas ahli kumpulan Forteen ini turut mengenang perjalanan rumah tangga yang sudah menginjak usia 13 tahun.
Menurutnya, kesetiaan yang diberikan Awin merupakan satu perkara yang tidak mampu dinilai dan digantika dengan wang ringgit.
“Kereta boleh dibeli. Tapi 13 tahun kesetiaan, 13 tahun bertahan, 13 tahun menyokong ketika aku jatuh dan bangun, itu bukan semua orang mampu bagi.
“Terima kasih sayang,” kongsinya lagi.
Bukan itu sahaja, Izzue turut menyentuh hati apabila berkongsi mengenai perjalanan hidup mereka yang masih belum mempunyai rezeki untuk dikurniakan cahaya mata.
Ujar Izzue, dia percaya ada hikmah disebaliknya kerana Allah telah mengurniakan seorang isteri yang sentiasa menjadi sumber kekuatan untuknya.
“Kita mungkin belum dikurniakan cahaya mata, tapi Allah bagi aku seorang isteri yang tak pernah berhenti jadi cahaya dalam hidup aku,” luahnya.
Untuk rekod, Izzue dan Awin mendirikan rumah tangga pada 2 Jun 2013.
Sumber: Instagram