Sekilas
- J Zainal lancar single terbaru berjudul Beralun yang mengangkat isu adab dan sikap masyarakat di media sosial melalui muzik alternative rock.
- Lagu ini memberi komen sosial tentang kebebasan bersuara yang kadangkala menyebabkan kata-kata tanpa fikir kesan kepada orang lain.
- J Zainal akan adakan showcase di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Ipoh untuk perkenalkan muziknya secara langsung bersama Kugiran Akta Tribunal.
Pemuzik dan penerbit, J Zainal tampil dengan single terbaharu berjudul Beralun yang mengangkat isu adab serta sikap masyarakat dalam dunia maya menerusi muzik alternative rock.
Menjadikan gelagat pengguna media sosial sebagai inspirasi, Beralun merupakan single kelima J Zainal.
Menurut J Zainal, lagu tersebut lahir daripada pemerhatiannya terhadap cara manusia berkomunikasi di media sosial apabila kebebasan bersuara kadangkala membuatkan seseorang terlalu mudah mengeluarkan kata-kata tanpa memikirkan kesannya terhadap orang lain.
“Beralun adalah ‘social commentary’ tentang adab di media sosial. Masing-masing berpusu-pusu mahu menunjukkan rasa bijak pandai serta keberanian yang kadangkala tidak berasas di sebalik telefon atau komputer.
“Walhal, diri sebenar mungkin tidaklah sehebat mana. Perkara itu yang saya perhatikan dan cuba terjemahkan menerusi lagu ini,” katanya.
Membawakan konsep alternative rock, J Zainal berkata Beralun turut mempertaruhkan susunan muzik yang berbeza daripada kebiasaan, sekali gus menyerlahkan sisi muzik J Zainal yang tersendiri.
“Keistimewaan Beralun bagi saya terletak pada susunanmuziknya. Pendekatannya berbeza daripada kebanyakan lagu yang kita dengar dalam arus perdana mahupun indie.
“Saya mahu lagu ini mempunyai bunyi dan karakter sendiri tanpa terlalu terikat dengan formula tertentu,” ujarnya.
Dalam pada itu, bersempena dengan pelancaran single dan muzik video Beralun, J Zainal juga bakal mengadakan siri showcase di tiga lokasi di Semenanjung Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Ipoh.
Aksi sulung J Zainal bersama Kugiran Akta Tribunal bakal berlangsung di Behave Ampang, Kuala Lumpur pada 12 September ini sebelum jelajah diteruskan ke Johor Bahru dan Ipoh.
Showcase tersebut menjadi platform buat J Zainal memperkenalkan dirinya serta muzik yang dibawakan dengan lebih dekat kepada khalayak, selain memberi peluang kepada pendengar menikmati karya-karyanya secara langsung.
“Saya mahu orang ramai bukan sahaja mengenali J Zainal menerusi lagu yang didengar secara digital, tetapi turut merasai sendiri tenaga dan karakter muzik ini apabila dimainkan secara langsung bersama Kugiran Akta Tribunal,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Beralun juga bakal menjadi antara lagu yang dimuatkan dalam album sulung J Zainal yang dijangka siap pada 2027.
Album tersebut bakal menghimpunkan perjalanan serta perkembangan muzik J Zainal, sekali gus menjadi langkah seterusnya dalam usahanya memperkenalkan identiti dan karya kepada khalayak yang lebih luas.
Maklumat lanjut mengenai J Zainal dan perkembangan terkini boleh didapati menerusi laman web rasmi jzainal.com.
Untuk info, Beralun menyentuh sikap segelintir individu yang mudah melontarkan pandangan, menunjukkan rasa bijak pandai serta keberanian di sebalik telefon atau komputer, sedangkan perkara sama mungkin tidak dilakukan ketika berhadapan secara bersemuka.