Sekilas
- Zaiton Sameon, menjelang ulang tahun ke-70, berharap dapat menunaikan ibadah haji selepas dua kali mengerjakan umrah.
- Beliau bersyukur dengan kesihatan yang semakin baik walaupun masih menanggung kecederaan kaki akibat terjatuh dalam lif beberapa tahun lalu.
- Zaiton menegaskan tidak mahu berkahwin lagi dan lebih memilih hidup tenang tanpa teman hidup lelaki.
Menjelang ulang tahun kelahiran ke-70 pada esok, penyanyi legenda, Zaiton Sameon mengakui tidak lagi mengejar kemewahan atau populariti, sebaliknya hanya menyimpan satu impian terbesar iaitu menjadi tetamu Allah untuk menunaikan ibadah haji.
Menurut penyanyi yang mesra disapa Kak Ton itu, pengalaman mengerjakan umrah sebanyak dua kali sebelum ini membuatkan kerinduannya terhadap Tanah Suci semakin mendalam.
“Untuk hari lahir kali ini, saya berdoa semoga Allah mengizinkan saya menunaikan ibadah haji pula. Memang teringin sangat hendak ke sana kerana sebelum ini saya hanya berpeluang mengerjakan umrah sebanyak dua kali.
“Kalau boleh, saya mahu pergi bersama anak angkat yang selama ini menjaga serta membela saya dengan penuh keikhlasan. Dia sangat baik dengan saya. Mudah-mudahan Allah panjangkan umur dan terus memberikan saya kekuatan.
“Terima kasih kepada semua yang masih meminati saya. Alhamdulillah, sampai hari ini orang masih mengenali Zaiton Sameon,” katanya kepada Kosmo! Online.
Pelantun lagu Menaruh Harapan itu turut meluahkan rasa syukur apabila keadaan kesihatannya kini semakin baik walaupun masih menanggung kesan kecederaan pada kaki akibat terjatuh di dalam lif beberapa tahun lalu.
“Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya sekarang semakin baik. Saya banyak berdoa ketika berada di Tanah Suci.
“Untuk kaki pula, keadaannya masih sama seperti dahulu. Kecederaan ini berlaku selepas saya terjatuh di dalam lif,” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Hari Guru Pahang 1st 2026, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Zaiton turut menegaskan dia tidak lagi berhasrat untuk mendirikan rumah tangga meskipun sering diajukan soalan mengenai perkara tersebut.
“Umur-umur macam ini, kahwin itu saya tidak mahu. Daripada ada suami, lebih baik ada adik. Saya hanya mahu berseronok menikmati hidup.
“Biarlah saya begini, cukuplah dua kali berkahwin sebelum ini. Saya cuma mahu hidup dengan tenang.
“Senang cakap, saya memang tidak perlukan lelaki sebagai teman hidup,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 69 tahun itu turut menghiburkan para guru cemerlang pada Majlis Apresiasi Hari Guru Pahang 1st 2026, sebuah program penghargaan yang dianjurkan hasil kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, Yayasan Pahang, Kumpulan Penggerak Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (KPIBKS) serta Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.