Sekilas
- Blackpink menyambut ulang tahun ke-10 dengan sambutan yang dianggap kurang meriah oleh sebahagian peminat mereka, Blink.
- Jennie memohon maaf atas kekecewaan peminat dan menjelaskan dia memilih masa yang sesuai untuk bercakap dengan Blink selepas persembahan terakhir.
- YG Entertainment mengadakan sesi pertemuan tertutup dengan 40 peminat terpilih, manakala Jisoo turut memohon maaf atas kekecewaan yang dirasai peminat sempena ulang tahun tersebut.
Kumpulan Blackpink menyambut ulang tahun ke-10 pembabitan mereka dalam bidang muzik malah telah mencetuskan fenomena di seluruh dunia.
Dengan pelbagai pencapaian dan telah mengumpul jutaan peminat dari seluruh dunia yang digelar Blink, ulang tahun ke-10 Blackpink disifatkan sangat penting. Ramai Blink yang berharap sedekad kumpulan yang dianggotai Rose, Jennie, Lisa dan Jisoo itu akan dilakukan dengan gah.
Namun, sebahagian peminat atau Blink kecewa kerana menyifatkan sambutan ulang tahun ke-10 Blackpink tidak seperti yang diharapkan.
Melihar kepada situasi tersebut, Jennie menerusi Weverse meminta maaf dan mengaku banyak memikirkan tentang ulang tahun istimewa tersebut.
“Saya banyak memikirkan tentang ulang tahun ke-10 kami dan sejujurnya, saya berasa sangat sedih kerana tidak berkesempatan untuk bercakap dengan BLINK dengan baik dan berkongsi apa yang saya rasakan,” tulisnya seperti dilaporkan Billboard.
Penyanyi itu menjelaskan dia memilih untuk menunggu sehingga selesai persembahan festival terakhir yang telah dijadualkan sebelum berbicara dengan peminat dalam keadaan hati yang lebih tenang.
Sepanjang 10 tahun bersama Blackpink, Jennie menyifatkan sokongan Blink sebagai antara perkara paling bermakna dalam hidupnya.
“10 tahun ini memberikan saya antara momen paling istimewa dalam hidup, semuanya kerana anda. Cinta anda sentiasa bersama kami dalam setiap langkah, membantu kami berkembang dan berani mengimpikan masa depan yang lebih besar,” katanya.
Menurut Jennie lagi, ulang tahun ke-10 Blackpink sepatutnya menjadi detik untuk mereka semua meraikan perjalanan sedekad bersama-sama dengan penuh kegembiraan.
“Sepatutnya ulang tahun ke-10 kami menjadi satu momen untuk kita meraikan dan bergembira bersama. Saya minta maaf kerana ada antara anda yang akhirnya berasa kecewa. Tiada alasan yang boleh saya berikan untuk perkara itu,” luahnya.
Jennie turut menyifatkan Blink sebagai antara ‘berkat terbesar dan cinta teragung’ dalam perjalanan Blackpink.
“Saya minta maaf kerana tidak dapat menunjukkan sisi diri saya yang lebih baik pada ketika itu. Lebih daripada segala-galanya, saya mahu anda tahu betapa bersyukurnya saya atas segala yang telah anda berikan kepada kami sepanjang 10 tahun ini.”
Dia kemudian menegaskan tidak akan melupakan segala pengalaman, pengajaran dan perasaan yang dilalui bersama peminat sepanjang dekad tersebut.
“Saya akan terus berkembang dan melakukan yang terbaik untuk membalas semua cinta yang telah anda berikan kepada saya,” katanya.
Sebelum ini, ramai peminat meluahkan rasa kecewa apabila tiada sambutan besar-besaran diumumkan sempena ulang tahun ke-10 Blackpink.
Bagaimanapun, YG Entertainment mengumumkan hanya dua hari sebelum ulang tahun bahawa 40 BLINK yang mempunyai keahlian berbayar Weverse akan dipilih untuk menghadiri sesi pertemuan tertutup bersama anggota Blackpink di Seoul, Korea Selatan.
Pada hari yang sama dengan permohonan maaf Jennie, akaun rasmi Blackpink di X turut berkongsi video momen pertemuan tersebut. Dalam video itu, keempat-empat anggota dilihat menyapa dan berbual dengan peminat, memberikan bunga berwarna merah jambu serta bergambar di hadapan kek tiga tingkat berwarna senada.
Jisoo juga dilaporkan menyentuh mengenai kekecewaan peminat ketika sesi siaran langsung Weverse sebelum acara berkenaan.
Menurut laporan media Korea, Jisoo berkata dia pada asalnya mahu bertemu dengan lebih ramai Blink kerana menyedari betapa pentingnya ulang tahun ke-10 itu.
“Saya mahu hari ini menjadi satu kesempatan yang menggembirakan, tetapi saya minta maaf kepada Blink yang berasa kecewa. Saya harap anda tahu saya menyayangi anda,” katanya.
Sejak debut pada 2016, Blackpink telah mencetak sejarah dengan 11 lagu di Billboard Hot 100 dan mempunyai lima album yang memasuki Billboard 200.
Album Born Pink yang dilancarkan pada 2022 berjaya menduduki tempat pertama Billboard 200, manakala The Album (2020) berada di tempat kedua. Projek terbaru mereka, EP DEADLINE, pula debut di tempat kelapan pada Mac lalu.