Sekilas
- Filem drama romantik Indonesia, Cinta Lama Babak Kedua, mengisahkan konflik keluarga apabila datuk dan nenek pasangan pengantin yang sedang membuat persiapan perkahwinan ternyata mempunyai sejarah cinta lama yang menyakitkan.
- Filem ini menampilkan pelakon veteran Widyawati dan Slamet Rahardjo serta dibarisi pelakon muda seperti Iskak Khivano dan Sintya Marisca, dan akan ditayangkan di pawagam Malaysia mulai 10 Disember 2026.
- Barisan pelakon utama dijadualkan hadir ke Malam Gala filem ini di TGV Pavilion Kuala Lumpur pada 3 Disember, memberikan peluang peminat bertemu mereka secara langsung.
Bayangkan sedang sibuk membuat persiapan perkahwinan, tiba-tiba mendapat tahu datuk dan nenek pasangan masing-masing merupakan bekas kekasih yang menyimpan kisah luka silam.
Itulah konflik menarik yang diketengahkan menerusi filem drama romantik Indonesia, Cinta Lama Babak Kedua (CLBK) yang bakal menemui penonton di pawagam Malaysia mulai 10 Disember ini.
Diarahkan oleh Ivander Tedjasukmana, filem berkenaan menggandingkan dua pelakon veteran Indonesia, Widyawati dan Slamet Rahardjo sebagai Sita dan Abi.

Turut membintangi naskhah tersebut ialah Iskak Khivano dan Sintya Marisca yang masing-masing menggalas watak Raka dan Ambar, selain Gisellma Firmansyah, Sarah Sechan serta Kiki Narendra.
Cinta Lama Babak Kedua mengisahkan Raka dan Ambar yang sedang membuat persiapan perkahwinan sebelum kegembiraan mereka bertukar menjadi konflik keluarga.
Segalanya bermula apabila Sita, nenek kepada Raka, membatalkan majlis keluarga selepas mengetahui Abi, datuk kepada Ambar, merupakan bekas kekasih yang pernah melukakan hatinya ketika muda.
Dalam usaha menyelamatkan hubungan mereka, Ambar memujuk datuknya untuk meminta maaf kepada Sita, namun tindakan itu sebaliknya membuka kembali luka lama.
Keadaan menjadi semakin rumit apabila Raka dan Ambar mula menjauhkan diri kerana masing-masing mahu mempertahankan keluarga sendiri.

Pertemuan semula Sita dan Abi secara kebetulan di Bandung pada mulanya dilihat sebagai peluang untuk mendamaikan kedua-duanya.
Namun, siapa sangka pertemuan tersebut kembali menyemarakkan perasaan cinta antara dua insan itu, sekali gus merumitkan hubungan cucu mereka yang sedang berusaha menyelamatkan rancangan perkahwinan.
Menariknya, naskhah Cinta Lama Babak Kedua sebenarnya tersimpan hampir sedekad sebelum akhirnya berpeluang diterbitkan.
Perkara itu didedahkan Ivander ketika sidang media filem berkenaan di Jakarta pada 26 Jun lalu.
Mengulas pengalamannya mengarahkan dua figura legenda perfileman Indonesia itu, Ivander mengakui banyak perkara dipelajarinya sepanjang bekerjasama dengan mereka.
“Saya belajar banyak dari keduanya,” katanya.

Sementara itu, Widyawati menyifatkan kisah cinta antara Sita dan Abi sebagai sesuatu yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.
“Mungkin tidak persis seperti ini tetapi pasti ada yang mengalami,” ujarnya.
Lebih daripada sekadar kisah cinta lama yang kembali berputik, filem ini turut menyentuh soal kemaafan, konflik antara generasi dan keberanian melepaskan masa lalu.
Istimewa buat peminat di Malaysia, Widyawati, Sintya Marisca, Iskak Khivano dan Gisellma Firmansyah dijadualkan hadir ke Malam Gala Cinta Lama Babak Kedua di TGV Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang pada 3 Disember ini.
Turut dijadualkan hadir ialah penerbit bersama filem tersebut, Vladimir Rama.
Cinta Lama Babak Kedua yang mula ditayangkan di Indonesia pada 2 Julai lalu bakal memasuki pawagam Malaysia mulai 10 Disember 2026, edaran Juragan Kaya Sdn Bhd.