Sekilas
- Datuk Fazley Yaakob berkongsi pandangannya bahawa soal jodoh dan cinta adalah rahsia Tuhan dan tidak boleh dirancang sepenuhnya oleh manusia.
- Fazley menjelaskan bahawa perasaan jatuh cinta berlaku secara semula jadi dan sukar untuk dijelaskan atau dipilih oleh seseorang.
- Beliau juga pernah dikaitkan dengan usahawan Datuk Seri Vida selepas mereka bersama dalam program realiti Talk To My Manager musim kedua.
Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob berkongsi pandangannya mengenai soal jodoh, cinta dan perkahwinan.
Menerusi hantaran di platform Threads, Fazley berkata manusia hanya mampu merancang, namun segala ketentuan termasuk pasangan hidup adalah ditentukan oleh Tuhan.
“Soal jodoh ni memang betul-betul rahsia Tuhan. Seringkali apabila kita merancang, Allah merancang lebih baik.
“Cinta tak semestinya bersatu kata orang, malahan nikah tu seperti nasib, belum tentu kita bahagia di dalam bernikah,” kongsinya.

Dalam perkongsian sama, Fazley juga turut berpendapat perkara paling sukar untuk difahami ialah perasaan suka itu hadir secara semulajadi sehingga sukar dijelaskan dengan kata-kata.
“Tetapi yang paling sukar di fahami ialah, kita takkan mampu pilih dengan siapa kita jatuh cinta.
“Sebab tu bila kita tanya orang yang bercinta, kenapa korang jatuh cinta, diorang akan akan jawab “Entah lah, aku pun tak tahu… it just happens!” Betul kan?” luahnya.
Untuk info, Fazley sebelum ini dikaitkan dengan dakwaan kononnya mempunyai hubungan istimewa bersama usahawan kontroveri, Datuk Seri Vida.
Fazley dan Vida mula 'dijodohkan' ketika kedua-duanya menyertai program realiti, Talk To My Manager musim kedua baru-baru ini bersama anak masing-masing.