Sekilas
- Wani Kayrie menafikan dakwaan akan membuat gimik bertemakan perkahwinan semasa persembahannya di AJL40.
- Dia memilih untuk tidak menggunakan gimik dan lebih fokus pada persembahan yang ringkas dan bermakna.
- Dakwaan itu timbul kerana lagu 'Cak Cak Cekuk' mempunyai elemen berkaitan tema perkahwinan, tetapi Wani menegaskan ia bukan tentang dirinya.
Penyanyi Wani Kayrie menafikan dakwaan bakal membuat gimik bertemakan perkahwinan ketika persembahannya di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) tidak lama lagi,
Menurut Wani, dakwaan itu mungkin timbul kerana lagu 'Cak Cak Cekuk' nyanyiannya mempunyai elemen yang berkaitan dengan tema perkahwinan.
“Kahwin? Tidaklah kot. Awal lagi nak kahwin, mungkin sebab orang rasa lagu ini tentang lagu kahwin, jadi orang ingat saya akan buat tema kahwin.
“Tapi kalau boleh, kami cuba buat sesuatu yang lain. Kalau buat benda yang orang dah boleh jangka, nanti orang dah boleh agak. Apa yang saya boleh kata, kahwin itu bukan sayalah, mungkin artis lain,” jelasnya.
Wani menjelaskan perkara itu ketika ditemui pada sidang media AJL40 yang berlangsung di St Regis, Kuala Lumpur pada Selasa.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Wani berkata dia memilih untuk tidak melakukan sebarang gimik kerana mahu memberi fokus terhadap persembahannya.
Ujar Wani lagi, dia kurang gemar menggunakan gimik untuk menarik perhatian sebaliknya lebih selesa mengekalkan konsep yang ringkas.
“Saya tak nak ada apa-apa gimik. Saya cuma nak buat persembahan dengan happy. Sebab ini kali pertama. Saya tak nak gimik itu mengganggu fokus dan prestasi saya.
“Apa yang saya boleh katakan, saya cuma nak buat persembahan yang memorable untuk semua orang.
“Sejujurnya, saya lebih suka keep it simple. Bila buat gimik, kita kena bijak dan pastikan semuanya selari sampai hari final.
“Bagi saya, kalau ada gimik pun biarlah datang daripada konsep persembahan pada hari itu nanti.
“Tapi untuk gimik sebelum persembahan, saya rasa tak perlulah. Sekarang saya sangat fokus untuk AJL, buat yang terbaik dan kekalkan konsep yang sederhana,” ujarnya.
Terdahulu, tular sebuah hantaran di media sosial yang mendakwa salah seorang finalis AJL40 bakal mengumumkan berita pernikahan ketika membuat persembahan.